• Wartawan Nabalu News

COVID-19: KLUSTER PENJARA KEPAYAN, SUMBANG PENINGKATAN MENDADAK DI KOTA KINABALU


22 OKTOBER 2020

KOTA KINABALU: Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 233 kes disebabkan bilangan kes Kluster Penjara Kepayan sebanyak 156 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, secara keseluruhannya kes positif baharu Covid-19 di negeri ini pada hari ini adalah 578 kes dan bilangan kematian empat orang.

“Jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 9,868 kes. Sehingga hari ini, seramai 4,168 pesakit dilaporkan telah sembuh. Manakala 5,624 pesakit sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata daerah kedua yang mencatatkan pertambahan kes positif Covid-19 ialah Sandakan (81 kes) diikuti daerah Tawau (65 kes), Tuaran (43 kes), Semporna (35 kes), Penampang (31 kes), Papar (24 kes), Putatan (17 kes), Lahad Datu (15 kes), Kinabatangan (10 kes), Kudat (lapan), Kunak dan Kota Marudu masing-masing empat kes, Ranau (tiga kes), Keningau (dua kes), Kota Belud, Pitas dan Beaufort masing-masing mencatatkan satu kes baharu.

Daerah-daerah lain seperti Sipitang, Tambunan, Kuala Penyu, Nabawan, Telupid, Tenom, Beluran dan Tongod tidak mencatatkan kes pertambahan pada hari ini, katanya.

Masidi berkata, dua kluster baharu dilaporkan di Sabah pada hari ini iaitu Kluster Sauh dengan 31 kes dan Kluster Tinusa sebanyak 33 kes di Kg. Tinusa 2 Sandakan.

Beliau berkata, pada hari ini dua lokaliti akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu satu di Sandakan dan satu di Lahad Datu.

“Lokaliti berkenaan ialah, PPR Taman Harmoni, Sandakan mulai 23 Oktober hingga 05 November, Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu mulai 24 Oktober hingga 06 November.

“Tempoh PKPD di enam lokaliti di Semporna dan satu lokaliti di daerah Kunak dilanjutkan mulai 24 Oktober hingga 06 November. Pengoperasian kedai runcit di tujuh lokaliti tersebut adalah dibenarkan mulai 6.00 pagi hingga 6.00 petang,” katanya.

Masidi berkata, PKPD bagi Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau pula tidak dilanjutkan kerana kes jangkitan Covid-19 di dua lokaliti tersebut adalah terkawal.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com