• nabalunews

COVID-19: SEMBILAN KLUSTER BAHARU, LIMA BABITKAN TEMPAT KERJA


2 JAN 2020


KUALA LUMPUR: Memasuki hari kedua 2021, sembilan kluster baharu berkaitan COVID-19 dikenal pasti dalam tempoh 24 jam lepas dengan lima daripadanya melibatkan kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tempat kerja itu dikesan melalui saringan bersasar di tempat kerja manakala kluster lain dikesan melalui saringan individu bergejala, saringan kontak rapat dan saringan individu dari kawasan berisiko tinggi.

Lima kluster di tempat kerja itu ialah Kluster Harum dan Dewani di Johor Bahru, Johor; Kluster Tapak Bina Casuarina di Sepang dan Petaling, Selangor; Kluster Renggam di Petaling, Sepang dan Klang serta Kluster Jalan BBN di Seremban, Negeri Sembilan.

“Kluster Harum melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi. Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 2 Jan (hari ini) melalui saringan bersasar di tempat kerja dengan 435 individu disaring, 206 kes dikesan positif COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata Kluster Tapak Bina Casuarina merekodkan 53 kes dikesan positif COVID-19, Kluster Dewani (25 kes), Kluster Renggam (20 kes) dan Kluster Jalan BBN catat 27 kes.

Sementara itu, empat lagi kluster baharu iaitu Kluster Batu Lapan di Tambunan, Ranau dan Kota Belud, Sabah; Kluster Belukar di Machang, Kelantan; Kluster Kolam Permai di Kuala Terengganu dan Kemaman, Terengganu dan Petaling di Selangor serta Kluster Mador di Meradong dan Sibu, Sarawak. Dalam tempoh 24 jam lepas, Kluster Batu Lapan mencatatkan 52 kes positif COVID-19 diikuti Kluster Belukar (17 kes), Kluster Kolam Permai (sembilan kes) dan Kluster Mador sebanyak lapan kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 229 kluster manakala 294 kluster telah tamat termasuk empat kluster iaitu Kluster Seri Wangsa, Kluster Batu Lima, Kluster OAD dan Kluster Kasah. - Bernama