top of page

Polis ingatkan orang ramai taktik penipuan tawar dapatkan kembali wang mangsa scam

  • nabalunews
  • Apr 14
  • 1 min read

14 April 2026


KUALA LUMPUR: Polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memberi amaran kepada orang ramai berhubung taktik penipuan terbaharu yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan semula wang mangsa bagi kes-kes penipuan.


Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, modus operandi tersebut dikesan apabila mangsa tertarik dengan iklan di Facebook sebelum dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh suspek yang menyamar sebagai wakil National Scam Response Centre (NSRC).


"Suspek kemudiannya mendakwa boleh membantu mendapatkan semula wang mangsa yang telah ditipu, namun mengenakan bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan.


“Mangsa yang terpedaya akan melakukan beberapa transaksi ke akaun bank berbeza seperti diarahkan, tetapi selepas itu terus diminta membuat bayaran tambahan tanpa sebarang pemulangan wang seperti dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.


Rusdi menegaskan tiada pihak boleh menjanjikan pemulangan wang yang telah ditipu secara mudah, lebih-lebih lagi dengan mengenakan bayaran pendahuluan.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran sedemikian serta sentiasa membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.


“Berdasarkan rekod JSJK, enam kes penipuan melibatkan tawaran perkhidmatan mendapatkan semula wang mangsa telah direkodkan bagi tempoh tahun 2025 hingga Mac 2026 dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM68,491.


‘Kes-kes tersebut melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu, dengan kebanyakan mangsa dilaporkan menjadi mangsa penipuan buat kali kedua,” katanya.


Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dinasihatkan untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 atau membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil.

 
 
 

1 Comment


larsen soto
larsen soto
Apr 20

I appreciate that Uno Online allows you to customize your avatar and frame; it looks very unique and original.

Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page