COVID-19: Tempoh pengasingan dipendekkan kepada lima hari – Dr Zaliha
top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19: Tempoh pengasingan dipendekkan kepada lima hari – Dr Zaliha


30 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan bahawa tempoh pengasingan kes disahkan COVID-19 akan dikurangkan daripada tujuh kepada lima hari mulai 5 Julai ini.


Beliau dalam kenyataan pada Khamis berkata, langkah itu bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kes dan mengurangkan beban kepada fasiliti kesihatan.


Jelas beliau, menurut kajian yang dijalankan infektiviti kes COVID-19 adalah tinggi pada lima hari pertama.


Dr Zaliha juga berkata pesakit COVID-19 yang dahulunya diwajibkan memakai pelitup muka dalam kenderaan awam dan fasiliti kesihatan kini hanya dikehendaki (bukan wajib) memakai pelitup muka ketika berada di kedua-dua lokasi berkenaan.


"Namun, pemakaian pelitup muka amat digalakkan bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak dan kawasan pengudaraan kurang baik," katanya.


Tambah beliau bahawa individu bergejala respirator juga amat digalakkan memakai pelitup muka ketika berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, bas/van pekerja dan bas/van sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain.


Sementara itu, Dr Zaliha berkata status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang akan tamat esok, dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi hingga 31 Dis 2023 walaupun penilaian situasi semasa COVID-19 berada pada tahap tidak membimbangkan dan perkhidmatan kesihatan tidak terbeban.


Beliau menjelaskan pelanjutan pengisytiharan itu masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2 di negara ini.


"Selain itu, perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidiladha dan juga Pilihan Raya Negeri, berkemungkinan berisiko menyumbang kepada peningkatan kes dan membebankan sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.


Dr Zaliha juga memaklumkan bahawa bilangan kes baharu COVID-19 telah menunjukkan penurunan sebanyak 53.5 peratus (5,801 kes kepada 2,698 kes) dan kes kematian 35.3 peratus (17 kes kepada 11 kes) sejak lima minggu kebelakangan ini iaitu bermula Minggu Epidemiologi (ME) 21/2023 hingga ME 25/2023.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page