• nabalunews

COVID-19: TIADA KEMATIAN, TIADA KLUSTER BAHARU DAN KES BAHARU TURUN KEPADA 659


31 OKTOBER 2020


PUTRAJAYA: Sejumlah 1,000 kes pulih COVID-19 dicatat hari ini, jumlah kes pulih paling tinggi sejak permulaan pandemik itu di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Bilangan kes baharu yang dicatat hari ini juga turun kepada 659 kes dengan tiada kematian dan tanpa pertambahan kluster baharu dilapor.


Dr Noor Hisham berkata dengan itu, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 di negara ini adalah 21,248 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula 10,051 kes.


"Ingin dimaklumkan daripada 659 kes baharu pada hari ini terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Bangladesh melibatkan bukan warganegara, dan bagi kes tempatan pula Sabah mencatat 529 kes manakala negeri dan wilayah persekutuan di Lembah Klang merekodkan 70 kes.


Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin memaklumkan bahawa tiada pertambahan kluster baharu pada hari ini. Justeru, jumlah kluster aktif adalah kekal 133 kluster dengan jumlah kluster tamat adalah 114 kluster," katanya pada sidang media perkembangan situasi COVID-19, di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Sabah dan Lembah Klang menyumbang sebanyak 599 kes atau 90.9 peratus daripada jumlah harian kes positif COVID-19 secara keseluruhan.


Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), katanya.


Memperincikan jumlah kes di negeri lain, beliau berkata Selangor mencatatkan 55 kes, Negeri Sembilan (25), Labuan (12), Kuala Lumpur (11), Sarawak (sembilan), Perak (enam), Putrajaya (empat), Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing dua kes manakala Pahang dan Kelantan masing-masing satu kes.


Beliau berkata daripada jumlah kes itu, 137 adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan pusat tahanan sementara yang terdiri daripada Kluster Penjara Kepayan (26 kes) dan Kluster Rumah Merah (111 kes).


Katanya, sehingga kini, terdapat 83 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 19 kes memerlukan bantuan pernafasan.


Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 249 kes. - Bernama