• nabalunews

COVID: KES BAHARU MENURUN KEPADA 2,461 KES HARI INI



20 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan penurunan kes baharu COVID-19 kepada 2,461 kes hari ini daripada 2,936 yang dicatatkan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Semua kes baharu hari ini adalah penularan dalam negara yang melibatkan seramai 1,589 warga tempatan dan 872 bukan warganegara, menjadikan kes terkumpul positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 280,272 dengan kes aktif sebanyak 34,468, katanya dalam satu kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 hari ini..


Beliau berkata selain daripada itu 4,782 kes sembuh dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 244,753 kes atau 87.3 peratus daripada keseluruhan kes.


"Sebanyak lapan kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan, menjadikan kes kumulatif sebanyak 1,051 kes, manakala 207 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 91 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya


Sementara itu, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,001 kes diikuti Kelantan (257), Johor (233), Kuala Lumpur (230), Sarawak (134), Sabah (109), Perak (108), Kedah (101), Negeri Sembilan (89), Pulau Pinang (87), Pahang (42), Melaka (32), Terengganu (22), Putrajaya (13) dan Perlis (tiga).


Mengulas mengenai lapan kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata kesemua kes melibatkan warganegara iaitu tiga wanita dan lima lelaki berumur lingkungan 46 hingga 81 tahun yang mempunyai masalah kesihatan kronik.


Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 10 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan kesemuanya adalah kluster di tempat kerja menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 510 kluster.


Katanya daripada jumlah kluster baharu, empat dikesan di Johor iaitu Kluster Jalan Tanjung Enam; Jalan Wawasan 14, Batu Dua Setengah dan Jalan Lapangan Terbang, manakala dua di Selangor iaitu Kluster Perdana Tiga dan Jalan Perusahaan Satu.


Dua kluster di Perak pula ialah Kluster Batu Sebelas dan Jalan Pelabuhan sementara masing-masing satu kluster di Sabah iaitu Kluster Jalan Pasar dan Negeri Sembilan pula Kluster Tapak Bina Kasia.


Sementara itu, sebanyak 11 lagi kluster diisytiharkan tamat hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster tamat di negara ini kini 558.


Menerusi hantaran di Twitter, Dr Noor Hisham menjelaskan lonjakan jumlah kes baharu di Kelantan adalah disebabkan banduan dari Penjara Dungun, Terengganu yang baru tamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dipindahkan ke Penjara Pengkalan Chepa. - Bernama