• nabalunews

CUEPACS GESA KERAJAAN PERLUAS PEMBERIAN ONE-OFF RM500


9 Nov 2020

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), menggesa kerajaan agar pemberian one-off sebanyak RM500 kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM), diperluaskan kepada lebih ramai petugas barisan hadapan di kementerian terbabit serta agensi lain yang terlibat.

Presidennya Adnan Mat berkata, sehingga kini petugas barisan hadapan memainkan peranan yang cukup besar dalam menyekat penularan COVID-19, terutama dari segi aspek sokongan, keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Peranan petugas barisan hadapan ketika ini lebih sukar dalam membendung wabak ini, kerana tiada sekatan sepenuhnya seperti dahulu, apabila kerajaan terpaksa seimbangkan kepentingan ekonomi dan keselamatan rakyat.

“Selain daripada tugas hakiki masing-masing, pertambahan tugas juga sudah tentu membebankan emosi dan fizikal petugas barisan hadapan. Oleh itu, kerajaan wajar memberi pertimbangan atas penat lelah dan pengorbanan kesemua petugas barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lepas, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pemberian one-off sebanyak RM500, yang akan memanfaatkan 100,000 petugas barisan hadapan KKM, bagi menghargai jasa mereka di bawah Belanjawan 2021.

Adnan berkata jumlah 100,000 petugas KKM yang dimaklumkan dalam Belanjawan 2021, tidak meliputi kesemua petugas barisan hadapan di kementerian terbabit.

Justeru, katanya, Cuepacs mencadangkan agar petugas barisan hadapan bukan KKM diberikan one-off sebanyak RM300.

“Lebih tujuh bulan ke semua petugas barisan hadapan ini berjuang tangani COVID-19, sehingga ramai dalam kalangan mereka sendiri dijangkiti virus tersebut. Sebaik sahaja sembuh, mereka ini telah ditugaskan semula sebagai petugas barisan hadapan.

Apatah lagi ketika ini peningkatan kes yang begitu mendadak, dengan kewujudan kluster-kluster baharu setiap hari sehingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, pada hampir seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata Cuepacs juga memohon KKM untuk memastikan bekalan peralatan perlindungan untuk petugas barisan hadapan, seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan cecair pembasmi kuman mencukupi dan dihantar segera ke semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Cuepacs menerima beberapa aduan daripada petugas barisan hadapan, yang memaklumkan bekalan yang diberikan tidak mencukupi hingga memaksa mereka menggunakan inisiatif sendiri, untuk memperolehinya.

“Jika petugas barisan hadapan ini tidak dibekalkan dengan peralatan keselamatan yang mecukupi, ia boleh mendedahkan petugas kesihatan bekerja dalam risiko jangkitan yang tinggi,” katanya. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com