CUEPACS gesa KPM perketat keselamatan, laksana audit infrastruktur sekolah
- nabalunews
- Sep 29
- 1 min read

29 September 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa memperketat aspek keselamatan sekolah berikutan insiden seorang murid Tahun Tiga maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan semalam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Datuk Dr. Adnan Mat, berkata kejadian sebegitu tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi pendidikan yang seharusnya menjadi tempat paling selamat buat kanak-kanak.
“KPM perlu memberi perhatian serius terhadap isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sekolah kerana ia melibatkan bukan sahaja murid, malah guru, ibu bapa dan seluruh komuniti sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KPM perlu segera melakukan audit menyeluruh terhadap infrastruktur sekolah di seluruh negara bagi mengenal pasti titik risiko dan melaksanakan langkah pencegahan bagi mengelak insiden tidak diingini berulang.
Menurutnya tindakan segera, menyeluruh serta sistematik mesti dilaksanakan dan tragedi kehilangan nyawa berkenaan adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
Jelasnya, KPM perlu melibatkan pakar keselamatan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) bagi memastikan standard keselamatan dipatuhi dan risiko kemalangan dapat diminimumkan.
"Tiada kompromi boleh diberikan apabila ia membabitkan nyawa dan KPM perlu memperkukuh prosedur keselamatan, mengutamakan aspek penyelenggaraan, serta memastikan persekitaran sekolah bebas daripada risiko berbahaya.
"Keselamatan murid adalah amanah negara. Jangan tunggu tragedi seterusnya untuk bertindak," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku semalam, media melaporkan seorang murid lelaki sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Negeri Sembilan maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sekolah berkenaan.


















Comments