top of page

Daftar pemilih tambahan Ogos 2025 dibuka untuk semakan – SPR

  • nabalunews
  • Sep 25
  • 2 min read

ree

25 September 2025


PUTRAJAYA: Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 (DPT BLN8/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula 24 September hingga 23 Oktober, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus.


Beliau berkata DPT BLN8/2025 yang diperaku dan diwartakan semalam mengandungi 55,047 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.


“Selain itu, senarai berkenaan juga mengandungi 13,598 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,198 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status,” katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my); dan aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my).


Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.


“SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2025 dan pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk membuat semakan,” katanya.


Khairul Shahril berkata, sekiranya pemilih mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN8/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.


“Bagi pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang ingin membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian tersebut boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri.


“Borang berkenaan harus dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri terbabit untuk serahan dan bayaran fi bantahan sepanjang tempoh semakan tersebut,” katanya.


Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR, menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7218, atau menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri masing-masing.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page