top of page

Dakwaan Malaysia beri 5,207 hektar tanah kepada Indonesia tidak tepat - Arthur

  • nabalunews
  • 34 minutes ago
  • 2 min read

23 Januari 2026


PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan laporan media yang mendakwa Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung di kawasan Nunukan berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan adalah tidak tepat.


Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran sempadan di kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) dilaksanakan secara harmoni antara Malaysia dan Indonesia tanpa bersandarkan prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.


Menurutnya, pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dibuat menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara pada 18 Februari 2025 selepas melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.


"Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) telah dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023.


"Proses rundingan turut melibatkan penglibatan aktif wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Arthur berkata, melalui persetujuan kedua-dua negara, satu pengukuran saintifik dilaksanakan berdasarkan perjanjian yang ditandatangani terdahulu bagi menentukan jajaran sempadan yang jelas.


Menurutnya, keputusan itu dicapai menerusi proses teknikal yang panjang melibatkan pakar-pakar daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan.


Jelasnya lagi, setiap inci pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa iaitu Boundary Convention 1891, Boundary Agreement 1915, Boundary Convention 1928 serta koordinat geospatial yang tepat, bukan atas dasar konsesi politik.


"Keuntungan jangka panjang kedaulatan negara adalah lebih strategik bagi Malaysia untuk memiliki sempadan yang diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa.


"Pengiktirafan ini lebih signifikan berbanding daripada mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai keabsahan undang-undang," ujarnya.


Arthur berkata, penetapan sempadan yang muktamad akan memperkukuhkan kedudukan perundangan negara di peringkat antarabangsa serta menutup ruang untuk sebarang tuntutan wilayah yang lebih besar pada masa hadapan.


Menurutnya, kedua-dua negara juga mengambil pendekatan diplomasi melalui rundingan secara berterusan bagi menyelesaikan sebarang isu dan pertikaian di kawasan OBP.


"Ia dibuat berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan, sekali gus memastikan keharmonian serta mengelakkan sebarang konflik di lapangan," katanya.


Media sebelum ini melaporkan peta sempadan antara Indonesia dan Malaysia mengalami perubahan signifikan susulan penyelesaian OBP yang menyaksikan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, kini secara rasmi berada di dalam wilayah kedaulatan Malaysia.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page