DARIPADA MELARANG, LEBIH BAIK BERUSAHA MEMBINA LEBIH BANYAK KEMUDAHAN DEWAN UNTUK RAKYATDARIPADA MELARANG, LEBIH BAIK BERUSAHA MEMBINA LEBIH BANYAK KEMUDAHAN DEWAN UNTUK RAKYAT
top of page
  • Wartawan Nabalu News

DARIPADA MELARANG, LEBIH BAIK BERUSAHA MEMBINA LEBIH BANYAK KEMUDAHAN DEWAN UNTUK RAKYAT


Datuk Ewon Benedick

10 Mac 2021


1. Beberapa hari lepas, tular surat yang dikeluarkan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian yang baru dilantik, sdra Demis Rumanti berkenaan larangan penggunaan kemudahan dewan dan balai raya oleh parti politik pembangkang.


2. Saya membaca maklum balas rakyat terhadap surat tersebut, bukan hanya di kalangan rakyat Kadamaian, tetapi juga rakyat Sabah amnya.



3. Seorang dua cuba memberi justifikasi surat tersebut berdasarkan kepada pekeliling yang dikeluarkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah pada September 2016 yang melarang penggunaan premis Kerajaan, dewan masyarakat dan balai raya oleh parti politik pembangkang. Ketua Menteri ketika itu ialah Tan Sri Musa Aman dan Menteri KPLB Sabah ialah Datuk Radin Malleh.


4. Semasa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal, perkara mengenai penggunaan kemudahan dewan oleh parti politik pembangkang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Saya dan semua Ahli Jemaah Menteri ketika itu menyokong agar kemudahan dewan masyarakat dan balai raya boleh digunakan termasuk oleh parti politik pembangkang. Mereka hanya perlu memohon dan membayar kos sewa yang berkaitan.


5. Itulah dasar yang digunakan oleh Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal. Malah, seawal bulan Jun 2018, iaitu sekitar sebulan selepas beliau menjadi Ketua Menteri, beliau telah mengumumkan kepada media berkenaan dasar bahary tersebut.


6. Sebab itulah parti-parti politik pembangkang telah dapat menggunakan kemudahan sedemikian untuk menganjurkan program-program mereka seperti mesyuarat agung.


7. Di antara tempoh Mei 2018 hingga September 2020, saya selaku ADUN Kadamaian bersama dengan YB Isnaraissah Munirah bersama dengan UPPM Kadamaian telah bekerjasama dan berusaha sebaiknya membangunkan kemudahan-kemudahan yang diperlukan rakyat Kadamaian termasuklah dewan. Kami bekerja keras untuk mendapatkan perhatian dan peruntukan daripada Kerajaan.



8. Dalam tempoh ini, kita telah membangunkan Dewan Kadamaian Square kerana saya melihat keperluan dan potensinya untuk digunakan bagi pelbagai pengisian aktiviti melangkaui aktiviti dianjurkan parti politik.


9. Kita juga telah membina 8 buah dewan serbaguna dan 22 buah dewan terbuka / bangunan balai untuk rakyat di seluruh Kadamaian.


10. Daripada jumlah tersebut yang dapat kita aturkan dalam tempoh singkat, kita telah membina dewan serbaguna di Kg Melangkap Baru, kampung sdra Demis sendiri setelah bertahun lamanya dewan usang di seberang rumah beliau tidak dipedulikan. Saya juga menyalurkan peruntukan ADUN untuk membina balai PIBG SMK Narinang di mana pengerusinya ialah sdra Demis dan beliau telah memohon kepada saya peruntukan membina balai tersebut. Daripada jumlah itu juga, sebanyak 3 buah dewan terbuka dibina di Mukim Melangkap sahaja.


11. Dalam tempoh itu juga, agensi berkaitan Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Pinjaman Sabah telah membina dewan terbuka di 5 buah sekolah rendah di DUN Kadamaian.


12. Sebenarnya masih banyak keperluan dewan untuk dinaiktaraf dan dibina baharu di Kadamaian. Itulah yang sempat kita uruskan, dan itulah yang sepatutnya diuruskan oleh UPPM Kadamaian yang ada sekarang.


13. Saya turut difahamkan Ketua Daerah daripada Kadamaian yang baharu, sdra Roslan Duraman telah mengeluarkan amaran sama mengenai penggunaan dewan selepas acara lawatan YB Munirah di dewan Kg Pinolobuh, iaitu dewan serbaguna baharu yang sempat kita bangunkan dalam tempoh 2 tahun lepas.


14. Daripada melarang, lebih baik UPPM Kadamaian dan parti-parti mewakili pihak Kerajaan fokus kepada membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat Kadamaian.


15. Sekarang ini, saya dalam perjalanan melawat salah satu bangunan dewan serbaguna baharu yang telah kita bangunkan di Kadamaian. Jika anda halang saya, bukan hanya rakyat Kadamaian tetapi rakyat Sabah akan bersuara.


16. Fokus kepada keperluan rakyat, bukan fokus kepada lawan politik anda.



Ewon Benedick

ADUN Kadamaian

Naib Presiden UPKO


bottom of page