• nabalunews

DARURAT DI BATU SAPI: TIADA PERINTAH BERKURUNG, TIADA PEMERINTAHAN ALA TENTERA - PM MUHYIDDIN


Tan Sri Muhyiddin Yassin. - foto Bernama

18 Nov 2020


KUALA LUMPUR: Kehidupan rakyat tidak terjejas, tiada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera susulan pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.


Perdana Menteri berkata pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa di Sabah.


Kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik COVID-19 berakhir, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi akan diadakan pada kadar segera, katanya dalam perutusan khas mengenai pengisytiharan darurat, yang disiarkan oleh televisyen tempatan dan rangkaian media sosial.


“Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan pengisytiharan darurat ini. Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi,” kata Muhyiddin.


Katanya kerajaan mengambil kira lima faktor utama sebab PRK Batu Sapi perlu dielakkan.


Pertama atas faktor ancaman terhadap kesihatan awam, kedua kekangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan petugas pilihan raya, ketiga pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan.


Keempat kebimbangan risiko jangkitan dalam kalangan pengundi terutamanya warga emas serta kelima kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi sekiranya penularan COVID-19 berlaku secara mendadak selepas PRK itu.


PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt lepas. SPR menetapkan penamaan calon pada 23 Nov manakala pengundian awal pada 1 Dis dan pengundian pada 5 Dis.


Muhyiddin berkata pengalaman Pilihan Raya Negeri Sabah menunjukkan bahawa pilihan raya yang diadakan ketika COVID-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak tersebut manakala SPR pula sukar mendapat petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan kemungkinan terkena jangkitan virus itu.


“Setakat 6 Nov, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya iaitu 17.1 peratus sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi,” katanya.


Sekiranya PRK itu diadakan, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan pandemik itu ke daerah-daerah lain di Sabah, katanya.


Terdapat 32,962 pengundi berdaftar di Parlimen Batu Sapi dengan 7,377 orang merupakan pengundi berumur 60 tahun ke atas atau 22.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.


“Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab yang keutamaannya ialah untuk melindungi nyawa setiap rakyat, situasi seperti ini mestilah dielakkan,” katanya. – Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com