Dua lelaki dipenjara kerana miliki petrol tanpa kebenaran sah
- nabalunews
- 25 minutes ago
- 1 min read

9 Januari 2026
TAWAU: Dua lelaki dipenjara lapan bulan setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini kerana memiliki 2, 250 liter minyak petrol tanpa kebenaran sah, akhir tahun lalu.
Tertuduh, Nadzmer Abd Hamid, 29, dan Isa Sabi, 45, yang merupakan warga asing mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Kedua-duanya didapati melakukan kesalahan tersebut pada 30 Disember 2025, sekitar jam 9.30 malam di kawasan perairan Kampung Tanjung Baru, Pulau Bum-Bum, Semporna.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua tertuduh bermula dari tarikh tangkapan dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut apabila selesai menjalani hukuman.
Manakala, barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 2, 250 liter diarahkan untuk dijual dan dijadikan hasil kerajaan, dan barang kes lain termasuk sebuah bot laju, enjin sangkut serta 50 liter petrol bercampur 2T dilucuthakkan kepada KPDN di bawah Seksyen 26(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditangkap polis dari Balai Polis Pulau Bum-Bum hasil maklumat risikan sebelum kemudiannya diserahkan kepada KPDN Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Mereka disabitkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan secara borong atau runcit barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 2,250 liter tanpa lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, Zulkifli Baco, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.














