top of page

Dewan Negara lulus RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

ree

16 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640] bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara agar lebih inklusif serta dinamik.


RUU yang dibentangkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu.


Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan pindaan akta berkenaan bertujuan memperluas akses kepada latihan kemahiran serta memastikan kemampanan kewangan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), selaras dengan slogan “TVET for All”.


“Pindaan ini membolehkan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) memainkan peranan yang lebih berkesan sebagai pemangkin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat.


“Antara kebaikan utama pindaan Akta 640 ialah peluasan akses kewangan melalui pemantapan skop pinjaman serta bantuan kewangan latihan kemahiran untuk menyokong lebih ramai rakyat,” menurut kenyataan itu.


KESUMA memaklumkan, pindaan itu turut memperkukuh tadbir urus dalaman PTPK bagi memastikan pengurusan dana yang lebih cekap, telus dan berintegriti.


Selain itu, mengukuhkan tindakan penguatkuasaan akta bagi menjamin pematuhan yang lebih berkesan dan keadilan dalam penggunaan dana awam.


Pindaan itu juga, menurut KESUMA akan menyelaras elemen hubungan dan terma yang dirujuk dalam Akta 640 dengan Akta 652, iaitu Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006, bagi memastikan konsistensi perundangan.


“Kelulusan pindaan Akta 640 membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh PTPK, menjamin keadilan sosial melalui peluasan peluang TVET berkualiti serta mengangkat TVET sebagai laluan kerjaya terhormat dan berupaya memacu peningkatan kesejahteraan rakyat.


“KESUMA dan PTPK komited untuk memastikan pelaksanaan pindaan akta ini mencapai matlamatnya untuk memperkasakan rakyat Malaysia melalui kemahiran yang diperlukan untuk masa depan,” menurut kenyataan itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page