top of page
  • nabalunews

Dewan Perniagaan Tionghua Tawau cadang penambahbaikan di Lapangan Terbang Tawau

21 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Dewan Perniagaan Tionghua Tawau (TCCC) mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan dilaksanakan di Lapangan Terbang Tawau (LTT) susulan insiden salah faham dalam kalangan pelancong China, berkaitan isu cukai.


Timbalan Presiden TCCC, William Tan berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa isu berkenaan timbul berdasarkan peraturan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bahawa pelancong yang memasuki Malaysia boleh menikmati pengecualian cukai tertentu, namun polisi ini hanya terpakai di lapangan terbang antarabangsa yang diiktiraf.


“Memandangkan LTT belum disenaraikan sebagai lapangan terbang antarabangsa, cukai dikenakan ke atas pelancong asing yang tiba di Tawau adalah mengikut peraturan sedia ada,” katanya selepas pertemuan dengan Ketua Kastam Tawau, Sabardin Lahabun di pejabat Kastam Tawau, semalam.


Menurutnya, dalam pertemuan itu, TCCC mencadangkan agar pihak KDRM mengemaskini panduan pelancong di laman web rasmi mereka dengan menyenaraikan secara jelas bahawa pengecualian cukai hanya terpakai untuk lapangan terbang antarabangsa yang diiktiraf sahaja, termasuk senarai semua lapangan terbang domestik serta antarabangsa.


Langkah itu, katanya, bertujuan untuk memastikan pelancong memahami polisi cukai sebelum ketibaan mereka, sekaligus mengurangkan kemungkinan berlaku kekeliruan apabila tiba di Tawau.


“Selain itu, TCCC juga mencadangkan penambahan tanda arah dalam Bahasa Cina di kawasan balai ketibaan LTT bagi memudahkan pelancong China memahami peraturan berkaitan cukai kastam.


“Kita juga mengusulkan agar pegawai kastam di LTT diberikan latihan asas dalam bahasa Cina yang bertujuan untuk memperbaiki komunikasi dengan pelancong China serta mengurangkan ketegangan yang mungkin timbul akibat masalah bahasa dan komunikasi,” katanya lagi.


William berharap cadangan penambahbaikan yang dikemukakan itu dapat dilaksanakan sebagai antara usaha memperbaiki situasi dan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta mengelakkan kekeliruan pelancong di masa hadapan akibat kekangan bahasa.


Menurutnya, pihaknya komited untuk terus berfungsi sebagai penghubung dan bekerjasama dengan pengurusan LTT, agensi pelancongan dan pihak berkaitan lain dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan di LTT.


Sementara itu, Sabardin berkata, pihaknya akan mempertimbangkan dengan serius segala cadangan yang dikemukakan pihak TCCC kerana ia dilihat bersesuaian dengan situasi kemasukan pelancong China ke daerah ini.

Comments


bottom of page