top of page

Tiada rampasan tanah di Inanam, permohonan ikut proses – KDCA

  • nabalunews
  • 27 minutes ago
  • 2 min read

18 Februari 2026


KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menafikan dakwaan berlaku penindasan dan rampasan tanah berhubung permohonannya melibatkan tanah kawasan di Inanam, di sini, serta menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas.


Setiausaha Agungnya, Datuk Suman Yasambun berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perhimpunan aman pada Selasa yang mempertikaikan permohonan tanah di Kampung Minintod serta kawasan berhampiran termasuk Kampung Bantayan dan Kampung Sukang Mabpai.


Katanya, KDCA sebagai pertubuhan yang memperjuangkan kebajikan dan kepentingan masyarakat Kadazandusun sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang serta proses rasmi Kerajaan Negeri.


“Dakwaan berlakunya “penindasan” atau “rampasan tanah adat” adalah tidak benar, tidak berasas dan tidak menggambarkan kedudukan sebenar perkara ini.


“Kawasan yang dipersoalkan adalah tanah yang masih digazetkan sebagai Rizab Veterinar Sabah untuk kegunaan jabatan berkenaan dan bukannya Rizab Perkampungan Orang Asal seperti yang digambarkan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Suman berkata, menerusi Resolusi Pemegang Amanah Resab Natif P.9114 pada 12 Mac 1988, KDCA telah dibenarkan menduduki dan menggunakan sebahagian kawasan seluas 30 ekar tertakluk kepada penyukatan rasmi, dengan resolusi ditandatangani oleh ketua-ketua kampung terlibat ketika itu.


Menurutnya, pada 14 Mei 1994, Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Koisaan di Hongkod Koisaan meluluskan penerimaan tawaran tanah 30 ekar itu kepada KDCA, dan resolusi itu ditandatangani pemimpin persatuan, disaksikan wakil rakyat serta pemimpin masyarakat setempat.


“Pada 1988, satu perjanjian telah dipersetujui oleh semua Ketua Masyarakat di Inanam bagi menyokong cadangan supaya kawasan 30 ekar itu dirujuk kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan dan kelulusan kepada KDCA.


“Susulan persefahaman itu, KDCA mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan negeri termasuk mendapatkan pertimbangan Ketua Menteri serta mengemukakan justifikasi penuh berhubung keperluan kawasan tersebut,” jelasnya.


Ujarnya, Kerajaan Negeri memberi maklum balas positif terhadap permohonan itu, tertakluk kepada ulasan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah yang sehingga kini belum mengeluarkan maklum balas rasmi.


“Status tanah berkenaan kekal sebagai Rizab Veterinar dan bukan Rizab Kampung, dan proses permohonan telah melalui saluran rasmi sejak 1988 termasuk persetujuan Ketua Menteri tertakluk kepada ulasan Jabatan Veterinar.


“Kini kita menunggu maklum balas jabatan berkenaan untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah. Semua Ketua Kampung yang terlibat sedia maklum perkara ini,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang mahukan penjelasan supaya tidak mengadakan demonstrasi, sebaliknya hadir berbincang dengan pihak KDCA dan meneliti dokumen rasmi.


Katanya, KDCA akan memanggil ketiga-tiga Ketua Kampung terlibat untuk satu pertemuan pada 20 Februari ini bagi memberi penjelasan berdasarkan rekod rasmi, sekali gus mengelakkan salah faham berterusan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page