Dialog, kerjasama serantau asas keamanan global – PM
- nabalunews
- Oct 31, 2025
- 1 min read

31 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dialog dan kerjasama serantau bukan sekadar wajar, malah satu keperluan mendesak dalam menjamin keamanan dan kemakmuran global.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan hari ini.
“Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan penting bahawa keamanan berkekalan hanya dapat dicapai dengan kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan, bukannya melalui kekerasan.
“Prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine. Penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki,” katanya menerusi hantaran di X.
Dalam pada itu, beliau berkata APEC telah membuktikan keupayaannya sebagai pelopor semangat keterbukaan dan kerjasama sukarela dalam membentuk norma ekonomi global yang adil.
Katanya, APEC kini sedang memupuk idea baharu bagi menghadapi cabaran masa depan, termasuk pertumbuhan hijau dan kewangan mampan, transformasi digital dan keterangkuman teknologi, rantaian bekalan berdaya tahan, peralihan tenaga bersih serta keselamatan makanan.
“Semua ini seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menekankan pembinaan ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan mampan demi manfaat seluruh rakyat.
“Kerjasama sejati menuntut penyertaan menyeluruh antara kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat, bukan untuk berkongsi kuasa tetapi berkongsi tujuan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar APEC memperluas penglibatan dengan rantau lain demi keseimbangan ekonomi global.
“APEC harus menjadi jambatan bukan sahaja bagi ekonomi Asia Pasifik, tetapi juga dalam memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika menuju sebuah tatanan ekonomi dunia yang lebih adil dan seimbang antara negara maju dan negara membangun,” katanya.


















Comments