Dividen 6.15 peratus bukti pengurusan pelaburan utuh KWSP – Anwar
- nabalunews
- Feb 28
- 1 min read

28 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Pengisytiharan dividen 6.15 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi Simpanan Konvensional dan Shariah untuk tahun 2025 mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan dana persaraan itu meskipun berdepan keadaan pasaran global yang mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi memberangsangkan itu turut mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara yang dipercayai.
“Alhamdulillah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah untuk tahun 2025 dengan jumlah agihan RM79.6 bilion.
“Kerajaan MADANI menyambut baik prestasi ini dan akan terus melaksanakan dasar yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat agar setiap warga mampu merancang masa depan dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya menerusi Facebook.
KWSP hari ini mengumumkan pengagihan dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 membabitkan agihan sebanyak RM67.1 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah dengan jumlah keseluruhan agihan RM79.6 bilion.
Menurut KWSP, bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, pihaknya mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.
Manakala aset pelaburan meningkat kepada RM1,409 bilion, naik 12.8 peratus daripada RM1,250 bilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.















Comments