DOS PERTAMA VAKSIN COVID-19 BAGI 2,328 PETUGAS BARISAN HADAPAN LABUAN SELESAIDOS PERTAMA VAKSIN COVID-19 BAGI 2,328 PETUGAS BARISAN HADAPAN LABUAN SELESAI
top of page
  • nabalunews

DOS PERTAMA VAKSIN COVID-19 BAGI 2,328 PETUGAS BARISAN HADAPAN LABUAN SELESAI



7 Mac 2021


LABUAN: Pemberian suntikan dos pertama vaksin COVID 19, Pfizer-BioNTech bagi 2,328 petugas barisan hadapan di bawah fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini, berakhir hari ini.


Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata petugas barisan hadapan itu terdiri daripada petugas kesihatan dan bukan penjagaan kesihatan daripada agensi kerajaan (di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana) termasuk pemimpin komuniti dan pengamal media.


“Kami berterima kasih atas kerjasama erat semua agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pemberian dos pertama selama lapan hari,” katanya kepada Bernama hari ini.


Beliau berkata Labuan adalah antara negeri pertama yang melaksanakan pemberian vaksinasi di bawah PICK bermula 27 Feb, sehari selepas ketibaan vaksin itu dari Kota Kinabalu melalui Terminal Feri Labuan.


Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman dan wartawan tempatan Jainudin Djimin dan Iffah Dilaney antara yang menerima dos pertama vaksin itu pada hari terakhir fasa satu, di sini hari ini.


Fasa kedua vaksinasi (melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya) dijadual pada April, sebaik selepas pemberian dos kedua selesai dan fasa ketiga (bagi kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas) dijadual dari Ogos hingga Februari tahun depan.


Dr Ismuni berkata Labuan masih dikaitkan dengan dua kluster, Taman Mahkota Impian dan Jalan Mohammad Salleh dengan masing-masing merekodkan 56 dan 86 kes.


Kluster Titian di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kampung Muslim, Hujung Pasir (Pusat Transformasi Bandar [UTC] Pasar Sentral) J Bandar (kedai makan) dan Kinabenuwa (pekerja dalam sektor industri minyak dan gas) telah pun berakhir.


Pada sesi taklimat mengenai situasi COVID-19, Dr Ismuni mendedahkan sejumlah 425,328 individu yang menjalai saringan pada tahun lalu dan 31,207 setakat tahun ini.


Dua (sub zon 3 dan 5) daripada lima sub zon diisytihar sebagai zon hijau COVID-19 manakala bakinya masih zon kuning.


Labuan merekodkan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 2,264 dengan lima kes aktif dan 13 kematian. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page