Dua Felo Perdana mulakan penempatan di Pejabat Menteri KUSKOP
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Dua Felo Perdana mulakan penempatan di Pejabat Menteri KUSKOP


23 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Dua Felo Perdana memulakan penempatan di Pejabat Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), di sini, hari ini.


Mereka ialah Mohammad Haziq Zikri Zainuri mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ching Yau Lun, pelajar bidang perubatan daripada Universiti Malaya (UM).


Mereka diperkenalkan kepada pegawai-pegawai kanan Kuskop dan pegawai bahagian Pejabat Menteri.


Ewon berkata, kedua-dua felo itu akan diberi peluang menyertai program-program kementerian bukan sahaja di Semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak.


“Saya yakin mereka dapat menyesuaikan diri dalam suasana tempat kerja. Peluang menyertai program Felo Perdana amat baik untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai dunia pekerjaan sebenar dalam pelbagai kepimpinan kerajaan.


“Sebagai Wakil Rakyat Penampang dan Kadamaian, saya juga akan memberi peluang kepada kedua-dua felo menyertai program turun padang di Penampang dan Kadamaian,” katanya.


Seramai 56 orang Felo terpilih akan memulakan tugas bermula hari ini hingga 31 Disember 2023.


Felo Perdana merupakan program berbentuk mentoring dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan yang relevan berkaitan sistem pentadbiran negara.


Peserta felo yang terpilih akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada ahli Jemaah Menteri dengan nisbah dua orang bagi setiap menteri dan seorang bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN).


Sejak diperkenalkan pada 2013, seramai 763 felo telah terpilih menyertai program berkenaan.


Terdahulu itu majlis penyerahan Felo Perdana disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut hadir dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, ahli jemaah menteri termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Sementara itu kedua-dua Felo Perdana yang ditempatkan di Kuskop berasa gembira dan bertuah kerana berjaya dipilih  menyertai program itu.

bottom of page