top of page
  • Wartawan Nabalu News

Dua inisiatif keusahawanan Bank Rakyat bantu usahawan asnaf

17 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur adalah dua inisiatif keusahawanan Bank Rakyat untuk membantu usahawan dan siswa yang berpotensi daripada golongan asnaf meningkatkan kemahiran keusahawanan.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ini dengan hasrat kementeriannya mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).


Beliau berkata, kedua-dua program itu berjaya membantu ramai usahawan asnaf sejak diperkenalkan pada 2020 dan 2021.


“Lebih membanggakan, sehingga kini, seramai 1,833 usahawan dan siswa asnaf berjaya dibantu dan keluar daripada golongan asnaf menerusi kedua-dua inisiatif itu.


“Kesinambungan kedua-dua program pembangunan usahawan oleh Bank Rakyat ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang prihatin terhadap kesejahteraan dan kemampanan usahawan khususnya golongan asnaf sejajar dengan nilai Malaysia Madani,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Rakyatpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2023, di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.


Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat, rakan kolaborasi program termasuk UiTM Technoventure Sdn. Bhd. sebagai rakan pelaksana program RAKYATpreneur 2023 serta 20 Institusi Pengajian Tinggi yang terlibat merealisasikan program Bank Rakyat UNIpreneur 2023.


Program RAKYATpreneur 2023 merupakan siri keempat penganjurannya sejak diperkenalkan pada 2020.


Beliau berkata, hasil pencapaian dan sokongan yang amat memberangsangkan oleh setiap peserta telah mendorong kesinambungan penganjuran program ini bermula Jun hingga November 2023 dengan penyertaan seramai 300 usahawan asnaf dari setiap pelusuk negara.


“Manakala program Bank Rakyat UNIpreneur pula telah memasuki tahun ketiga sejak dengan penyertaan seramai 500 orang siswa asnaf yang dipillih dari seluruh negara.


“Tahniah kepada kesemua 800 usahawan asnaf yang terpilih mengikuti program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2023.


“Saya percaya menerusi intervensi daripada institusi kewangan seperti Bank Rakyat dapat membantu meningkatkan keupayaan usahawan asnaf dan B40 dalam membentuk kedudukan kewangan yang lebih kukuh,” katanya.


Sehubungan itu beliau berharap setiap peserta menggunakan peluang itu untuk menyediakan diri menjadi usahawan berjaya.


“Saya amat berharap agar inisiatif ini dapat mencapai objektifnya dan berupaya membantu lebih ramai usahawan asnaf.


“Inisiatif ini bertepatan dengan agenda utama program hak asasi global, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), dalam membasmi kemiskinan menjelang 2030 menerusi dana dan bimbingan secara inklusif.


“Ini bagi mentransformasi usahawan asnaf menjadi usahawan berjaya dalam bidang perniagaan, seterusnya menjadi pembayar zakat,” katanya.


Turut hadir Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pemantauan, KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dr. Mohammad Hanis Osman dan barisan Ahli Lembaga Pengarah serta jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat.

Comments


bottom of page