Dua kali keluar masuk BN, “PBS melukut di tepi gantang” - UPKO
top of page
  • Farah Salim

Dua kali keluar masuk BN, “PBS melukut di tepi gantang” - UPKO



30 Julai 2022

Oleh Farah Salim


KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) membidas kenyataan Presiden Parti Bersatu (PBS) Datuk Dr Maximus Ongkili yang menyatakan tindakan UPKO keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 2018 adalah satu pengkhianatan untuk mendapatkan jawatan.


Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Carlye Lajimin berkata, kenyataan Maximus tersebut contoh klasik “orang lupa cermin diri” kerana PBS sendiri dua kali meninggalkan BN iaitu pada 1990 dan 2018.


“Maximus bercakap sejarah lompat parti di Sabah tetapi tidak mahu sebut sejarah PBS keluar masuk BN. PBS tinggalkan BN menjelang pilihanraya pada 1990 dan masuk semula pada tahun 2002 dan tinggalkan BN kali kedua pada tahun 2018.


“Maximus bercakap pasal parti lain sedangkan parti dia sendiri juga mempunyai sejarah hitam dua kali keluar masuk BN. Ini merupakan contoh klasik orang lupa cermin diri,” katanya.


Carlye yang juga Bendahari Exco Pemuda UPKO mencabar Maximus menafikan penglibatan dalam mesyuarat di Sri Gaya pada 14 Mac 1994 apabila Wakil-Wakil Rakyat PBS yang diketuai oleh Tan Sri Pairin Kitingan ketika itu membincangkan dan bersetuju mengenai penubuhan Parti Demokratik Sabah (PDS) dan kemudiannya mengkhianati keputusan yang dibuat ketika itu.


“Maximus bercakap seolah-olah beliau bersih dan tidak terkait dengan lompat parti. Jika beliau kaitkan keputusan UPKO tinggalkan BN sebagai lompat parti, kenapa tidak sebut sekali tindakan PBS tinggalkan BN dua kali juga adalah lompat parti?


“Maximus sendiri juga menyokong “katak-katak politik” yang terlibat dalam Langkah Sheraton. Beliau menandatangani akuan menyokong Perdana Menteri yang terhasil di kalangan “katak-katak politik” Parlimen.


“Tidak hairanlah Pengerusi BN Sabah Datuk Bung Moktar menyifatkan PBS ini “melukut di tepi gantang”. Bercakap pasal parti lain, tapi tidak cermin diri,” katanya.


Menurut beliau, Akta Lompat Parti tidak mungkin dapat dijayakan dan diluluskan di Parlimen tanpa kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri dalam bentuk memorandum persefahaman di mana salah satu tuntutan PH adalah pembentangan Akta Lompat Parti di Parlimen.


Carlye menggesa Maximus memfokuskan kepada tugasan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak untuk memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia kerana belum ada hasil membanggakan sejak beliau dilantik ke portfolio tersebut.


“Drama politik Maximus semakin menjadi sejak akhir-akhir ini apabila gagal menyerlah melaksanakan portfolio menteri beliau. Lebih baik beliau serahkan teraju kepimpinan kepada generasi muda PBS yang tahu cermin diri dan tidak melukut di tepi gantang,” katanya.

bottom of page