Dua kluster baharu melibatkan komuniti dikesan di Kinabatangan dan RanauDua kluster baharu melibatkan komuniti dikesan di Kinabatangan dan Ranau
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Dua kluster baharu melibatkan komuniti dikesan di Kinabatangan dan Ranau


3 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini dikenali sebagai Kluster Sawit Jati-Kinabatangan dan Kluster Tumbalang – Ranau melibatkan kluster jenis komuniti.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Sawit Jati dikesan berlaku di tempat kerja iaitu di sebuah ladang kelapa sawit.


Beliau berkata, kes indeks adalah lelaki warganegara Indonesia, 47, yang mula bergejala sesak nafas dan demam sejak 20 Oktober 2021.


“Ujian saringan bergejala RTK AG di Klinik Swasta Mabello Paris, Kinabatangan pada 21 Oktober mengesahkan kes indeks positif Covid-19 dengan keputusan RTK-AG grading 100% dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya.


“Aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 25 kontak sosial, pekerja dan tanggungan turut positif COVID-19.


“Siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, Kluster Tumbalang Ranau juga merupakan kluster komuniti yang dikesan di daerah Ranau pada 23 Oktober lalu.


Katanya, kes indeks adalah pemandu kereta sapu, lelaki tempatan, 37, yang dikesan positif Covid-19 di Hospital Ranau selepas bergejala sejak 19 Oktober 2021 dengan keputusan positif grading 87 peratus.


“Saringan kontak rapat yang dilakukan pada 25 Oktober sehingga 1 November 2021 mendapati seramai 54 orang daripada lokaliti yang sama dikesan positif RTK AG.


“Penambahan dua orang lagi penduduk daripada Kg Tumbalang yang turut dikesan positif RT-PCR hari ini melalui saringan kontak rapat di Klinik Timbua menjadikan jumlah keseluruhan kes daripada kluster tersebut sebanyak 56 kes,”katanya.

bottom of page