Duta Besar Malaysia ke AS serah watikah lantikan kepada Trump
- nabalunews
- Jul 26, 2025
- 1 min read

26 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob menyerahkan watikah pelantikan beliau kepada Presiden negara itu, Donald Trump, di White House, kelmarin.
Dalam satu hantaran Facebook, Kedutaan Malaysia di Washington DC memaklumkan dalam majlis penyerahan itu Shahrul Ikram turut menyatakan komitmennya untuk terus untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–AS.
"Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden atas penyertaan Setiausaha Negara Marco Rubio dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai lalu,” menurut kenyataan kedutaan itu.
Katanya, kehadiran Rubio sekaligus menegaskan lagi komitmen AS terhadap rantau ini serta memperkukuh Perkongsian Komprehensif Malaysia–AS.
Sepanjang lebih enam dekad sejak 1957, hubungan Malaysia-AS telah berkembang menjadi satu perkongsian pelbagai dimensi yang merangkumi kerjasama politik, ekonomi, pertahanan dan keselamatan, pendidikan serta hubungan antara rakyat.
Majlis penyerahan watikah itu menandakan pelantikan Shahrul Ikram sebagai Duta Besar Malaysia ke AS yang ke-18 secara rasmi.
Beliau dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS bagi menggantikan Datuk Seri Nazri Aziz yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 8 Februari lalu.















Comments