E- invois bagi pendapatan bawah RM5 juta ditangguh ke 1 Jan 2026
- nabalunews
- 12 hours ago
- 1 min read

6 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan e-invois bagi pembayar cukai yang berpendapatan atau jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta (Fasa 4) akan ditangguhkan kepada 1 Januari 2026 berbanding tarikh asal 1 Julai tahun ini.
Perkara itu diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Bagaimanapun kenyataan itu menjelaskan, tarikh pelaksanaan mandatori e-invois bagi Fasa 3 iaitu untuk pembayar cukai yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta hingga RM25 juta, kekal pada 1 Julai tahun ini.
"Kerajaan mengambil maklum komitmen pembayar cukai khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memerlukan persediaan secukupnya dalam mematuhi keperluan undang-undang berkaitan e-invois," menurut kenyataan itu.
Menurut LHDN, Kementerian Kewangan turut bersetuju untuk mengecualikan pembayar cukai yang mencatat pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM500,000 daripada pelaksanaan e-invois buat masa ini.
Selain itu, katanya, pelaksanaan e-invois bagi Fasa 5 iaitu pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM1 juta akan bermula pada 1 Julai 2026.
Katanya, tempoh kelonggaran selama enam bulan yang disediakan sebelum ini juga terpakai bagi fasa baharu yang membenarkan semua aktiviti atau industri untuk mengeluarkan e-invois yang disatukan termasuk e-invois yang dijana sendiri.
"Jika terdapat permohonan e-invois daripada pembeli, penjual juga dibenarkan untuk hanya mengeluarkan e-invois yang disatukan tanpa menjana e-invois bagi setiap transaksi.
"Kelonggaran ini turut membenarkan sebarang maklumat dimasukkan di bahagian Keterangan Produk atau Perkhidmatan," katanya.
LHDN turut memaklumkan bahawa tiada tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 akan diambil terhadap ketidakpatuhan terhadap peraturan e-invois sepanjang tempoh kelonggaran ini, selagi keperluan e-invois bersepadu dipenuhi.
Comments