Edisi kedua Marathon Antarabangsa Elopura Sandakan 2024 sasarkan lebih 1,000 penyertaan
- nabalunews
- Aug 11, 2024
- 1 min read

Ogos 2024
Oleh : Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Marathon Antarabangsa Elopura Sandakan 2024 yang berlangsung pada 17 November depan di sini menyasarkan penyertaan lebih 1,000 peserta pada kejohanan edisi kedua kali ini.
Acara tahunan itu merupakan kolaborasi antara Persatuan Ortopedik Sandakan dan Kelab Larian Kinabalu dengan sokongan daripada Majlis Perbandaran Sandakan dan Persatuan Pelancongan Sandakan.
Pengerusi Penganjur, Dr.Timothy Cheng, berkata, Elopura Marathon ini menawarkan tiga kategori iaitu larian sejauh 42 kilometer, larian separuh marathon 21 kilometer dan perlumbaan 10 kilometer.
Jelasnya, kesemua kategori akan bermula jam 2, 4 dan 6 pagi pada Ahad, 17 November ini di Kompleks Sukan Sandakan.
Antara laluan perlumbaan adalah Jalan Lintas Sibuga, Jalan Batu Sapi, Jalan Cecily, Jalan Leila, Jalan Buli Sim Sim, Jalan Lintas Utara, Jalan Airport dan Jalan Sibuga.
Marathon Antarabangsa Elopura Sandakan 2024 bukan hanya sekadar larian tetapi peserta juga berpeluang memberikan sokongan kepada Yayasan ROSE yang banyak membantu serta memberi semangat kepada pesakit kanser serviks di negara ini.
Selain itu, Marathon Antarabangsa Elopura Sandakan juga mendapat penghormatan sebagai sebahagian daripada siri Borneo Marathon yang berprestij dan berkongsi pengiktirafan dengan Marathon Antarabangsa Borneo Kota Kinabalu.
Kejohanan ini diadakan buat julung kalinya tahun lalu dan berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,700 peserta dari seluruh negeri.
Timothy berkata, penyertaan larian tahun ini masih dibuka sehingga 31 Ogos ini.
Maklumat lanjut boleh dilayari di laman Facebook rasminya, https://www.facebook.com/elopuramarathonsandakan
Comentarios