Ekonomi Malaysia berada di landasan betul

18 Ogos 2024
JOHOR BAHRU: Ekonomi Malaysia pada suku kedua 2024 yang berkembang sebanyak 5.9 peratus, di luar jangkaan kerajaan sekali gus membuktikan negara berada di landasan yang betul.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata pencapaian itu turut membuktikan keyakinan antarabangsa terutama pelabur terhadap potensi sebenar ekonomi negara.
Oleh itu katanya, Malaysia perlu segera meneruskan momentum itu dengan pelaksanaan dasar serta naratif ekonomi yang dirangka, terutama kecekapan proses dan prosedur, selain mereformasi struktur bagi memudahkan pelabur menjalankan perniagaan di negara ini.
"Cabarannya sekarang ini untuk kerajaan beri tumpuan bagaimana kita memastikan bukan sahaja naratif dan dasar itu menarik kepada pelaburan dan pertumbuhan, namun menterjemah (pelaburan) itu dengan segera dengan menyediakan segala fasiliti yang perlu dengan segala proses dibuat dengan segera dan teratur.
"Jika segala proses memudahkan perniagaan dan pelaburan itu dapat kita tawarkan dengan efektif, barulah momentum (pertumbuhan cemerlang) itu dapat diteruskan.
"Apabila segala proses (memudahkan perniagaan) dapat dibuat, Malaysia akan dilihat sebagai destinasi pelaburan yang baik bukan sahaja di rantau ini, malah di dunia," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi 'Ask Minister Anything bersama Menteri Ekonomi' sempena Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM, di sini, semalam.
Rafizi mengulas mengenai pengumuman kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua yang melebihi unjuran awal 5.8 peratus, semalam.
Ekonomi Malaysia pada suku kedua 2024 dilaporkan berkembang sebanyak 5.9 peratus, mengatasi unjuran awal 5.8 peratus yang diumumkan bulan lalu dan pertumbuhan yang tertinggi sejak suku keempat 2022.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dilaporkan berkata pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan ketara perbelanjaan isi rumah dan pasaran kerja yang kukuh serta sokongan dasar yang lebih meluas.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi cemerlang itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan melancarkan Kerangka Memudah-cara Perniagaan, pada 4 Oktober depan.
Katanya, kerangka itu strategi kementeriannya bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara terus berada pada tahap positif.
"Kerangka Memudah-cara Perniagaan itu sudah selesai dirangka selepas setahun diperinci dan melalui proses kelulusan.
"Kerangka baharu ini mengenai kecekapan khidmat kerajaan dalam mempermudah perniagaan di negara kita.
"Jadi kita perlu bergerak cepat. Bukan sahaja fokus kepada naratif lagi tetapi memastikan semua yang berada dalam sistem kita dapat dipertingkat dan dipermudah bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia tidak sia-sia," katanya.
Comments