Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan kukuh pada suku pertama 2024
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan kukuh pada suku pertama 2024

17 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024 (S1 2024) berkembang sebanyak 4.2 peratus (S4 2023: 2.9 peratus), didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak.


Kadar pertumbuhan pada S1 2024 mengatasi unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.9 peratus, menunjukkan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan dijangka berkembang antara 4 hingga 5 peratusbagi tahun 2024.


Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada S1 2024 membuktikan bahawa dasar kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan.


"Di sebalik kegalauan ekonomi dunia, prestasi ekonomi Malaysia kian mengukuh. Dalam tahun pertama pentadbiran, Kerajaan MADANI telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam," kata beliau.


"Kerajaan bertekad untuk menjayakan pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI. Peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik boleh dilihat melalui rekod paras baharu FBM KLCI mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur-pelabur dunia kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia," tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan.


Dari sudut penawaran, semua sektor melonjak dan memangkin pertumbuhan ekonomi pada S1 2024. Ini boleh dilihat melalui prestasi asas ekonomi yang menggalakkan.


Antara sektor-sektor tersebut ialah, pasaran buruh di mana jumlah pekerja meningkat 2.1 peratus kepada 16.4 juta orang, dengan lebih daripada 50,000 pekerjaan baharu dicipta.


Kadar pengangguran kekal rendah pada 3.3 peratus. Prestasi gaji dan upah juga memberangsangkan dengan sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus dan pembuatan 1.2 peratus


Dalam pada itu, kadar Inflasi kekal rendah pada 1.7 peratus berbanding 1.6 peratus pada S4 2023.


Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) turut Menokok 3.3 peratus pada S1 2024 (S4 2023: 0.8 peratus), disokong oleh momentum positif dalam semua subsektor yang dipacu oleh elektrik (8.9 peratus), perlombongan (5.9 peratus), dan pembuatan (2.1 peratus).


Nilai Kerja Pembinaan turut encatat pertumbuhan dua digit sebanyak 14.2 peratus berjumlah RM36.8 bilion pada S1 2024 (S4 2023: 6.8 peratus; RM34.1 bilion). Kenaikan ini didorong oleh peningkatan dalam semua subsektor yang dipacu oleh kejuruteraan awam (24.7 peratus), aktiviti pembinaan khas (11.8 peratus), dan bangunan kediaman (11.5 peratus).


Jumlah dagangan Malaysia berkembang sebanyak 7.1 peratus kepada RM690.6 bilion, didukung oleh peningkatan eksport kasar sebanyak 2.2 peratus kepada RM362.4 bilion dan import kasar sebanyak 13.1 peratus kepada RM328.2 bilion. Malaysia kekal mencatat lebihan dagangan yang berjumlah RM34.2 bilion pada S1 2024.


Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran mencatat lebihan sebanyak RM16.2 bilion atau 3.6% daripada Pendapatan Negara Kasar (S4 2023: 0.2%; RM0.9 bilion) yang disumbangkan oleh lebihan dalam akaun barangan serta ketibaan pelancong yang lebih tinggi. Pelaburan langsung asing (FDI) bersih adalah sebanyak RM5.5 bilion (S4 2023: RM19.6 bilion) yang khususnya dari Hong Kong, Amerika Syarikat, Jerman, Kepulauan Cayman, dan Bermuda. FDI ini disalur dalam sektor perlombongan dan kuari; sektor komunikasi dan maklumat serta aktiviti kewangan dan insurans/takaful.


Kementerian Kewangan menyatakan bahawa peningkatan momentum ekonomi mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik, serta diperhebat lagi dengan dasar-dasar jitu Kerajaan MADANI.


Pelaksanaan strategi dan langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, serta inisiatif-inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 kekal menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri bernilai tambah tinggi, sekaligus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang meningkatkan kualiti hidup rakyat.


Melangkah ke hadapan, usaha akan dipergiat bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta melonjakkan produktiviti. Usaha ini bertujuan untuk memastikan dasar propembangunan ekonomi dilaksanakan seperti dirancang bagi mencapai aspirasi negara.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page