Ekspedisi saintifik sungai Darau perkukuh sinergi DBKK dan UMS ke arah pembangunan mampan
- nabalunews
- 47 minutes ago
- 2 min read

17 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Pendekatan ‘living lab’ dalam Program Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan dan ekopelancongan berasaskan komuniti di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
Program ini merupakan hasil kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di bawah inisiatif Sustainable Tourism Living Lab: Innovation and Engagement.
Majlis Perasmian Penutupan dan Pembentangan Kertas Kajian Penyelidikan ekspedisi tersebut telah berlangsung dengan jayanya di Hilton Kota Kinabalu pada 14 Oktober 2025. Majlis disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBKK, Datuk Lifred Wong, yang hadir mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Dalam teks ucapan Mayor, beliau menegaskan bahawa pendekatan ‘living lab’ ini menjadikan kawasan Lembangan Sungai Darau sebagai ruang eksperimen lapangan bagi pelaksanaan penyelidikan dan inovasi sebenar.
“Teori dan dasar diuji terus di lapangan bagi menghasilkan panduan yang lebih berkesan untuk pembangunan masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, Lembangan Sungai Darau merupakan kawasan yang sangat signifikan, bukan sahaja kerana kepelbagaian biodiversitinya, tetapi juga potensinya sebagai tapak pembangunan ekopelancongan berasaskan komuniti yang mampan.
Ekspedisi tersebut turut merangkumi kajian komprehensif melibatkan pelbagai disiplin sains dan sosial bagi memberi gambaran menyeluruh tentang keunikan ekosistem Darau serta hubung kaitnya dengan kehidupan dan ekonomi masyarakat setempat.
Antara yang hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly yang mewakili Naib Canselor UMS; Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) DBKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, Karim Rahim; Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan) DBKK, Faradillah Haji Abdul Rani; Ahli Lembaga Penasihat DBKK, Helmi Shahril Ag. Kassim; dan Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat DBKK, Darna Badawi.
Menurut penganjur, hasil penyelidikan ekspedisi ini amat signifikan dalam memperkukuh dasar dan strategi pembangunan pelancongan berteraskan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti.
Dalam majlis yang sama, Datuk Lifred turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada kumpulan penyelidik yang telah menjayakan ekspedisi tersebut sebelum melawat Pameran Pelancongan Lestari yang menampilkan reruai daripada UMS, Citra Kasih dan Komuniti Sejahtera.
Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau merupakan program pertama yang dilaksanakan selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBKK dan UMS pada 4 Ogos 2025 — menandakan permulaan kepada sinergi strategik antara pihak akademik dan kerajaan tempatan demi pembangunan lestari bandaraya.