Wartawan Nabalu News
El Nino akan mencapai kemuncak awal 2024 - MetMalaysia
8 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, Fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas dan kering berpanjangan dijangka akan meningkat pada hujung tahun ini sehingga pada awal tahun 2024, dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus.
MetMalaysia berkata, kenyataan itu berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) pada 4 Julai lepas, yang menunjukkan pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar Khatulistiwa melebihi 0.5 darjah Celcius berbanding nilai purata jangka panjang.
"Fenomena El Nino biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan. Pada awal 2024, fenomena El Nino dijangka akan memberikan kesan yang lebih ketara apabila intensitinya mencapai kemuncak dengan negara akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan," katanya dalam kenyataan.
MetMalaysia berkata, fenomena El Nino akan menyebabkan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah hujan, serta berpotensi menyebabkan jerebu merentas sempadan jika pembakaran hutan dan tanah gambut tidak terkawal.
Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan.
MetMalaysia juga menyarankan orang ramai supaya peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat amaran cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia.
"MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Gelombang Haba sekiranya bacaan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celcius untuk tiga hari berturut-turut," katanya lagi.
Comments