Elaun Rayzam dipotong daripada RM2,000 ke RM800Elaun Rayzam dipotong daripada RM2,000 ke RM800
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Elaun Rayzam dipotong daripada RM2,000 ke RM800



8 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PETALING JAYA: Atlet kebangsaan negara, Rayzam Shah Wan Sofian terkilan dengan tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) yang memotong 60 peratus daripada elaun latihan bulanannya.


Sebelum ini, dia dibayar RM2,000 sebulan namun kini MSN hanya memberikannya sebanyak RM800 sebulan, katanya dalam laporan Utusan Malaysia kelmarin.


Menurut atlet berusia 34 tahun itu, dengan status sebagai atlet kebangsaan sepenuh masa yang bergantung sepenuhnya kepada elaun, adalah mustahil baginya atau mana-mana atlet untuk melangsungkan kehidupan dengan hanya berbekalkan elaun RM800 sebulan.


“Kalau RM1,500 tak apa lagi, tapi kalau sudah jatuh sehingga RM800, saya pun terfikir-fikir mungkin lebih baik kerja lain sahaja yang berikan gaji lumayan.. lebih baik kerja McDonald,” katanya.


Rayzam yang menduduki ranking kedua Asia dalam acara 110 meter lari berpagar yang sudah berbakti kepada negara dalam sukan olahraga sejak 15 tahun lalu itu berharap agar MSN menilai semula pemotongan elaunnya itu dengan lebih telus.


“Saya harap MSN ada budi bicara untuk mempertimbangkan potongan elaun ini kerana ramai atlet yang berjaya mengekalkan prestasi meskipun tanpa pingat emas," katanya yang tinggal di Sabah.


“Saya sudah berkeluarga, dengan RM800 apalah yang dapat saya buat, dengan tanggungan rumah, elektrik dan anak.


“Bagi saya, MSN perlu lebih telus dan ada budi bicara dalam menilai prestasi atlet, tidak wajar pencapaian hanya dinilai berdasarkan pingat, bukan prestasi tahunan atau bahkan rangkin di Asia,” keluhnya.


Sebelum ini Rayzam pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2007 dan 2017 dalam acara 110 meter lari berpagar serta pingat perak pada Sukan SEA 2019 yang lepas.


Terdahulu, dilaporkan bahawa MSN telah menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan atas faktor kekurangan dana.

bottom of page