Enam PATI China dihantar pulang
- nabalunews
- Dec 11, 2024
- 1 min read

11 Disember 2024
TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghantar pulang enam pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat China ke negara asal, menggunakan pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Tawau secara terus ke Guangzhou, China, pada Selasa.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai enam lelaki dewasa yang berusia antara 32 hingga 55 tahun.
“Pemindahan semua PATI warga China telah dilaksanakan dari Depot Imigresen Tawau melalui Lapangan Terbang Tawau, menggunakan pengangkutan udara Batik Air untuk penghantaran pulang ke Guangzhou, China.
“Semua PATI terbabit telah selesai menjalani hukuman dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal selepas lengkap dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
SH Sitti Saleha berkata, semua PATI itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
“Berdasarkan penghantaran kali ini, seramai 42 tahanan warganegara China sudah dipindahkan sepanjang tahun 2024 menjadikan jumlah keseluruhan seramai 8,157 warganegara asing yang telah berjaya dipindahkan ke negara asal.
“Semua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Comments