- Wartawan Nabalu News
Ewon hadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dan Hari Sabah di Kota Kinabalu
31 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menghadiri kedua-dua sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah walaupun kedua-duanya diadakan pada dua lokasi berasingan yang dipisahkan oleh Laut China Selatan.
Di sebelah pagi, Ewon bersama isteri menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dan balik ke Sabah untuk menghadiri sambutan Hari Sabah di Kota Kinabalu.
Sambutan Hari Kebangsaan 2024 disempurnakan dengan kehadiran Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta dihadiri oleh Perdana Menteri dan Anggota Kabinet Persekutuan.
“Saya teruja dan bangga menyaksikan penyertaan rakyat Malaysia dalam sambutan Hari Kebangsaan ini.
“Semoga Persekutuan Malaysia menjadi lebih baik melalui perpaduan dan keharmonian kaum dan agama,” katanya dalam ciapan laman media sosial rasmi beliau.
Ewon turut menyatakan kehadiran ke sambutan Hari Sabah sebagai satu tanggungjawab sebagai pemimpin Sabah.
“Atas semangat patriotik dan kesatuan, saya balik ke Sabah sebaik selesai sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakan pimpinan Sabah bagi menghadiri sambutan Hari Sabah yang diadakan secara rasmi buat pertama kali.
“Tahniah kepada Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di atas pewartaan Hari Sabah dan seterusnya sambutan Hari Sabah.
“Semoga kesatuan pimpinan dan rakyat Sabah terus diperkasa bagi membangun kemerdekaan dan kesentosaan bangsa,” katanya.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak perlu mempertahankan identiti Malaysia yang sebenar.
“Sabah (dan Sarawak) harus terkehadapan mempertahan identiti Malaysia yang sebenar sepertimana dimeterai oleh Bapa-Bapa Malaysia pada tahun 1963,” katanya.
Ewon menyatakan harapan agar sambutan Hari Sabah dapat terus menyatukan rakyat di negeri ini.
Opmerkingen