Ewon lawat reruai koperasi, usahawan sempena HKN 2025
- nabalunews
- Jul 26
- 1 min read

26 Julai 2025
MELAKA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick melawat reruai-reruai koperasi dan usahawan pada hari pertama dan kedua sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025, di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini.
Dalam lawatan itu, beliau turut beramah mesra serta menyampaikan penghargaan kepada para usahawan dan koperasi yang mengambil bahagian dalam pameran itu.
“Saya menyampaikan penghargaan dan sokongan kepada semua koperasi yang terlibat serta mendoakan agar perusahaan mereka terus maju jaya dan menjadi inspirasi kepada koperasi-koperasi lain,” katanya selepas mengadakan lawatan ke reruai-reruei pameran HKN, di sini, hari ini.

Majlis Penutupan Rasmi HKN 2025 akan diadakan esok (27 Julai 2025) oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Sebanyak 242 reruai pameran disertai oleh pelbagai pihak termasuk agensi-agensi di bawah KUSKOP yang menyediakan pelbagai program.

Daripada jumlah itu, 147 reruai dikendalikan oleh koperasi, termasuk 22 koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan.
Ewon turut mengajak orang ramai hadir memeriahkan sambutan HKN 2025 yang menawarkan pelbagai pengisian menarik sepanjang tiga hari penganjurannya.

“Saya berharap dapat bertemu lebih ramai pemimpin koperasi dan usahawan PMKS sepanjang sambutan ini. Sama-sama kita berikan penghargaan dan sokongan kepada gerakan koperasi negara,” katanya.
Antara pengisian menarik HKN 2025 selain ceramah ialah Program Happy Hour Jualan MADANI Koperasi, jualan makanan, pertandingan Battle of the Band serta pameran aset ketenteraan. Turut diadakan program Jom Masuk IPT dan Jom Cari Kerja, pameran produk dan perkhidmatan gerakan koperasi.

Sambutan HKN 2025, berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin (25 Julai).


















Comments