top of page
  • nabalunews

Ewon mempengerusikan mesyuarat MPKN

20 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) Bilangan 1 Tahun 2024, di Royale Chulan Hotel, di sini, hari ini.


Mesyuarat itu dihadiri Exco-exco keusahawanan negeri seluruh negara, pegawai-pegawai kanan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat dalam pembangunan keusahawananan.


MPKN dibentuk sebagai platform utama bagi menyelaras dasar dan hala tuju pembangunan keusahawanan dan koperasi yang inklusif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.


MPKN juga berperanan dalam mewujudkan kerjasama yang kolektif di antara KUSKOP dan semua pihak berkepentingan di peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan pelaksanaan strategi dan inisiatif yang digariskan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) memberi impak kepada ekosistem keusahawanan yang lebih holistik.


Dalam kenyataan KUSKOP hari ini, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MPKN itu ialah mengenai pelaksanaan program keusahawanan dan koperasi tahun 2024 dan cadangan fokus serta inisiatif keusahawanan oleh KUSKOP untuk tahun 2025.


Selain itu, wakil-wakil Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan beberapa cadangan tambahan baharu dan penambahbaikan ke atas inisiatif keusahawanan. Ini akan diselaraskan di bawah Belanjawan 2025 KUSKOP dan seterusnya dibincangkan bersama Kementerian Kewangan pada 27 Ogos ini.


Turut dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) 2023/2024 oleh SME Corp. Malaysia. Mesyuarat mengambil perhatian serius mengenai kementerian dan agensi serta kerajaan negeri yang masih belum melaporkan program pembangunan keusahawanan melalui SMEIPA.


Menurut kenyataan itu lagi, mekanisme pelaporan SMEIPA sedia ada akan diperkukuhkan bagi memastikan penyediaan pelaporan pelaksanaan inisiatif keusahawanan yang lebih komprehensif.


“Ini penting bagi mengurangkan pertindihan pelaksanaan program melibatkan kumpulan sasar dan skop program yang sama serta memacu sinergi yang lebih mantap antara Kementerian, agensi dan Kerajaan Negeri,” kata kenyataan itu.


Mesyuarat kali ini turut dimaklumkan mengenai pelaporan prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) pada tahun 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Comments


bottom of page