top of page
Wartawan Nabalu News

Felo Perdana peluang belia fahami cara kerja kerajaan perpaduan - Hannah Yeoh


23 Ogos 2023


KUALA LUMPUR: Program Felo Perdana memberi peluang kepada golongan belia yang terpilih untuk memahami cara kerja Kerajaan Perpaduan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.


Beliau berkata belia yang menyertai program itu juga akan didedahkan dengan konsep Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 


“Kita harap belia dapat ikuti program ini dan akan memahami konsep dan cara kerja Kerajaan Perpaduan yang baharu dan mereka akan selami konsep Malaysia MADANI dalam laksanakan tugas mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Felo Perdana oleh perdana menteri di sini hari ini.


Pada 19 Jan lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan  memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia. 


Hanna berkata felo terpilih akan menerima elaun bulanan sebanyak RM2,000 seorang bagi lepasan universiti dan RM1,000 seorang bagi mahasiswa yang masih menuntut di universiti, selain mempunyai cuti dan boleh membuat tuntutan elaun ketika tugasan rasmi yang setara gred 41 dalam perkhidmatan awam.


Sementara itu, Dinie Dayana Mohamad Azri, 23, yang ditempatkan di Pejabat Menteri Komunikasi dan Digital berkata dia bersyukur terpilih menyertai program Felo Perdana dan menyifatkan ia sebagai platform untuk mengetahui tentang pentadbiran kerajaan.


“Ini platform sangat berguna untuk kami ketahui inisiatif kerajaan terutama dalam memperkasa belia di negara ini,” kata mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.


Muhammad Iskandar Mohd Zailani, 23, siswazah dari Universiti Sultan Zainal Abidin pula berkata program Felo Perdana membuktikan kerajaan prihatin mengenai pembangunan anak muda di negara ini. 


“Penerusan Felo Perdana ini amat baik dan ia dapat lahirkan pemimpin baik,” katanya yang ditempatkan di pejabat sama seperti Dinie Dayana. - Bernama

Comments


bottom of page