top of page

FIFA hukum FAM, isytihar Malaysia kalah 0-3 bagi tiga perlawanan antarabangsa

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

ree

17 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan menerima hukuman terbaharu daripada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kes menurunkan pemain yang tidak layak.


Menurut kenyataan FAM pada Rabu, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 12 Disember lalu, dipengerusikan Timbalan Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Jorge Palacio.


Badan induk itu menjelaskan, FAM didapati melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1.


Ia membabitkan aksi menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang sebelum ini berakhir seri 1-1; perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025 yang menyaksikan Harimau Malaya mencatat kemenangan 2-1.


Turut terkesan ialah perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 September 2025 yang berakhir dengan kemenangan 1-0.


“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengisytiharkan Malaysia kalah dengan jaringan 3-0 bagi ketiga-tiga perlawanan tersebut.


“Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414),” menurut kenyataan itu.


FAM berkata, pihaknya akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara itu.


Pada September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel atas dakwaan pemalsuan dokumen.


Selain digantung, pemain terbabit turut didenda CHF 2,000 (RM10,411) setiap seorang, manakala FAM pula dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).


Sebelum ini, FAM mengesahkan pihaknya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan oleh FIFA.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page