FlySiswa diperluas, 50,000 pelajar bakal nikmati subsidi tiket RM400
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 1 min read

9 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk memperluas bantuan subsidi tiket penerbangan FlySiswa bernilai RM400 bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kepada lebih banyak institusi pendidikan tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu selepas mengambil kira keluhan pelajar, khususnya dari Sabah dan Sarawak, mengenai kos perjalanan pulang ke kampus atau ke kampung halaman.
Menurutnya, perluasan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelajar pada tahun ini berbanding 44,000 pelajar tahun lalu.
"Oleh kerana masih ada keluhan, jadi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu telah meluluskan perluasan bantuan subsidi FlySiswa daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Ia kini diperluas kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), universiti separa kerajaan, institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta Institut Perladangan dan Komoditi,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di Putrajaya, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan lebih ramai pelajar dapat menikmati bantuan subsidi penerbangan yang disediakan kerajaan.











