Garis panduan pakaian seragam sekolah kekal
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Garis panduan pakaian seragam sekolah kekal



28 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata arahan dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian ko-kurikulum untuk sesi persekolahan akan datang, kekal walaupun beberapa negeri dilanda cuaca panas ketika ini.


Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM akan sentiasa mendapatkan pandangan dan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum sebarang keputusan lain dibuat mengenai pakaian sekolah.


"Setakat ini, garis panduan tersebut masih kekal seperti yang diumumkan Menteri (Fadhlina Sidek) pada Januari lalu. Pengumuman oleh Menteri itu masih terpakai. Walaubagaimanapun, sekiranya cuaca panas bertambah serius, kita akan berbincang dan dapatkan input daripada KKM sebelum satu keputusan dibuat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara di sebuah hotel, di sini kelmarin.


Beliau turut menyatakan bahawa KPM amat prihatin dengan keadaan cuaca panas yang melanda beberapa kawasan di negara ini dan akan mendapatkan laporan terkini daripada KKM dan MetMalaysia.


Sebelum ini, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan, El Nino dengan intensiti kuat yang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.


Malah, pakar juga meramalkan bahawa purata suhu sepanjang El Nino adalah 35 darjah Celsius, namun di sesetengah kawasan seperti di Perlis, Kedah dan Kelantan suhunya mampu mencapai 40 darjah Celsius.


Berdasarkan laporan MetMalaysia baru-baru ini, sebanyak 11 kawasan di Semenanjung termasuk di Sabah mengalami cuaca panas tahap 1 di mana suhu harian melebihi 35 darjah Celsius.


Ia melibatkan kawasan sekitar Perlis, Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang di Kedah.


Turut terlibat adalah kawasan sekitar, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang dan Kuala Kangsar di Perak serta Beaufort di Sabah.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page