• Farah Salim

Gejala rasuah terus berleluasa jika rakyat tidak faham isu semasa pada PRU-15: Anwar



3 Julai 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa gejala rasuah akan terus berleluasa sekiranya rakyat menolak untuk terus cakna isu-isu semasa yang menghimpit warga pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tidak lama lagi.


Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata, ini kerana sistem politik negara ini memerlukan penglibatan dan kebijaksanaan semua lapisan masyarakat membanteras rasuah.


“Sistem politik kita memerlukan keterlibatan dan kebijaksanaan dari segenap lapisan masyarakat tatkala sistem politik kita dihurung oleh pelbagai watak yang mendendang kestabilan tetapi realitinya hanya menanam bibit-bibit perpecahan dan ketidakstabilan serta ketidaktentuan.


“Justeru itu, mengambilkira keadaan semasa, rakyat tiada pilihan selain perlu bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menolak rejim yang korup, angkuh dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat terbanyak,” katanya dalam perkongsian melalui Facebooknya.


Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyeru seluruh rakyat negara ini supaya sama-sama berjuang bersama PH sebagai sebuah pasukan yang kukuh.


“Jadi ayuh bersama PH sebagai sebuah pasukan yang kukuh, kuat dan berkeyakinan dalam memungkinkan sebuah etos yang menghormati prinsip-prinsip negara hukum, karamah insaniah serta yang patuh akan keperluan dan kehendak rakyat,” katanya.