top of page
  • Wartawan Nabalu News

Gempa bumi boleh berlaku di Malaysia - NRECC


18 April 2023

By Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mendedahkan bahawa negara tidak terlepas daripada ancaman gempa bumi yang boleh berpunca dari sumber jauh atau dekat.

Kementerian itu berkata kajian empirikal menunjukkan bahawa Malaysia terdedah kepada kesan gempa bumi yang berlaku di sepanjang jalur Subduksi Plat India-Australia dan Plat Eurasia di Semenanjung Malaysia, serta jalur Subduksi Plat Filipina dan Plat Eurasia di Sabah dan Sarawak.


"Jalur-jalur ini adalah sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik yang sering mengalami gempa bumi besar. Gegaran gempa bumi ini boleh dirasai di pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sabah," kata NRECC dalam kenyataan.


NRECC juga berkata gempa bumi yang berlaku di Sumatera, Indonesia dan pergerakan plat tektonik Plat India-Australia boleh mengaktifkan sesar-sesar kuno yang wujud di Semenanjung Malaysia dan menyebabkan gempa bumi tempatan.


"Magnitud gempa bumi tempatan boleh mencapai magnitud 6 bergantung kepada saiz garis sesar kuno yang diaktifkan. Gempa bumi tempatan pernah berlaku di Bukit Tinggi, Pahang; Empangan Kenyir, Terengganu; Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Manjung dan Temenggor di Perak dengan julat magnitud antara 1.6 hingga 4.6," kata NRECC.


Bagi Sabah dan Sarawak, NRECC berkata gempa bumi tempatan adalah disebabkan oleh pengaktifan sesar-sesar kuno akibat himpitan pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia, selain daripada sesar aktif tempatan.


"Gempa bumi kuat yang berpusat di Malaysia pernah berlaku pada magnitud 6 hingga 6.3 yang melanda Sabah pada 1923, 1958, 1976 dan 2015, manakala gegaran terkuat di Sarawak bermagnitud 5.3 berlaku pada 1994," kata NRECC.


Sebagai langkah mitigasi risiko gempa bumi, NRECC melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada 2019.


"Peta ini memberi fokus kepada reka bentuk bangunan tahan gegaran gempa perlu diaplikasi dan menjadi rujukan dalam pembinaan bangunan di Malaysia dengan mencirikan zon bahaya bencana seismik berdasarkan 'Peak Ground Acceleration' (PGA)," kata NRECC.


NRECC juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa cakna dengan arahan yang dikeluarkan sekiranya berlaku gempa bumi dan mengikuti maklumat terkini melalui media sosial dan media massa.

bottom of page