Gempa bumi Sabah: JBPM laksana pemantauan berterusan
- nabalunews
- 4 minutes ago
- 1 min read

23 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melaksanakan pemantauan secara berterusan susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda perairan Sabah awal pagi hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan berkenaan digerakkan bagi melaksanakan rondaan dan pemeriksaan sebagai langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
Menurutnya, rondaan dijalankan antaranya di kawasan tepi laut berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selain pemeriksaan di beberapa daerah termasuk Putatan, Kudat serta lokasi sekitar.
“Keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Sehubungan itu, saya memohon penduduk di kawasan berhampiran agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa, kekal tenang dan tidak panik.
“Dapatkan maklumat sahih daripada Portal Bencana atau media sosial rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi lain yang berkaitan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, MetMalaysia melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 telah berlaku di perairan Kota Kinabalu, Sabah pada 12.57 pagi tadi, dengan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di sabah serta sebahagian sarawak dan semenanjung malaysia.
Menurut agensi itu, gempa bumi tersebut dikesan pada koordinat 7.0 darjah utara dan 116.4 darjah timur, kira-kira 49 kilometer (km) barat dari Kudat, Sabah pada kedalaman 678 km.
Metmalaysia bagaimanapin memaklumkan kejadian itu tidak menimbulkan sebarang ancaman tsunami kepada Malaysia.











