Gereja St. Augustine Kg. Kaung Ulu, Kadamaian kini mempunyai dapur dan penginapan baharu
24 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Hasrat komuniti Gereja St. Augustine Kampung Kaung Ulu, Kadamaian untuk membina sebuah dapur dan penginapan baharu di gereja itu kini menjadi realiti hasil sumbangan komuniti dan pelbagai pihak.
Pembinaan kemudahan itu yang bermula pada Januari 2022 dan siap sepenuhnya pada November 2023 serta menelan belanja sebanyak RM75,000 dibiayai menerusi peruntukan kerajaan negeri, sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick serta sumbangan terbesar daripada umat Gereja St. Augustine Kampung Kaung Ulu.
Pengerusi JKKK Kg. Kaung Ulu yang juga Setiausaha Gereja St. Augustine, Geofrey Magaran merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat merealisasikan pembinaan kemudahan baharu itu.
"Kami amat bersyukur atas sumbangan daripada kesemua umat gereja, kerajaan negeri dan juga wakil rakyat kami iaitu ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
"Dapur dan penginapan baharu ini akan memberikan manfaat kepada umat gereja untuk mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan dan sosial," tambah beliau.
Majlis perasmian dan menandatangani plak gereja akan diadakan pada 2 Ogos ini serentak dengan majlis pecah tanah pembinaan jambatan di Kg. Kaung Ulu oleh Ewon.
Kommentare