Gold Lion juara Kejohanan Futsal Terbuka Ranau edisi kedua
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Gold Lion juara Kejohanan Futsal Terbuka Ranau edisi kedua


Pasukan Gold Lion menerima hadiah pertama pada kejohanan tersebut.

7 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Pasukan Gold Lion telah dinobatkan sebagai juara bagi Kejohanan Futsal Terbuka Ranau edisi kedua di Ranau Extreme Futsal, baru-baru ini.


Dalam pertandingan tersebut pasukan dari Lahad Datu itu telah mengalahkan MS TEAM FT dari Ranau sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM2000, sebuah trofi dan medal.


Naib johan iaitu MS TEAM FT juga telah membawa pulang wang tunai RM1000, dan medal. Manakala bagi tempat ketiga, terdapat dua pasukan yang mengikat mata yang sama iaitu Boss Bundle dan Tabaru FT.


Pasukan dari Kota Kinabalu dan Ranau itu masing-masing membawa pulang hadiah RM400 dan medal.

Mazlan (kiri) dari pasukan Boss Bundle dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam kejohanan tersebut.

Sementara itu, Mazlan dari pasukan Boss Bundle muncul sebagai pemain terbaik. Manakala Mohd Taufiq dari MS TEAM FT dinobatkan sebagai pemain terbaik bawah 21.


Bagi kategori penjaga gol terbaik ianya disandang oleh pemain dari pasukan Gold Lion. Dalam pada itu, anugerah pasukan terbaik jatuh kepada Tabaru FT dan pasukan Boss Bundle memenangi anugerah pengurus terbaik.


Pengurus penganjur Jason George ketika dihubungi Nabalu News merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua peserta, pasukan dan penganjur kerana dapat menjayakan pertandingan tersebut bagi edisi kedua.


Menurut beliau, penyertaan pasukan bagi kejohanan kali ini turut mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan penyertaan 36 pasukan iaitu lebih banyak daripada penyertaan kejohanan pada edisi pertama.


“Tujuan utama pertandingan ini dibuat adalah bagi memperkukuhkan lagi sukan futsal di negeri sabah, dan mempelawa lebih banyak pasukan akan menyertai kejohanan ini.


“Kejohanan seumpama ini juga dapat memberi pengalaman kepada semua peserta, pasukan dan pemain mahupun penganjur untuk mempelajari sesuatu daripada pertandingan ini.


“Selain itu, ia juga dapat memperkasakan sukan futsal di negeri Sabah setara dengan sukan-sukan yang lain,” jelas beliau.


Jelas Jason lagi, kelainan bagi kejohanan edisi kedua kali ini berbanding dahulu dapat disaksikan dengan penyertaan pasukan gergasi Sabah seperti Gold Lion, MS Team dan Old KK.


Sementara itu, beliau juga mempelawa orang ramai untuk menyertai Kejohanan Futsal Terbuka Ranau 2023 edisi ketiga di tempat yang sama pada 11 March akan datang di mana hadiah bagi tempat pertama dinaikkan kepada RM4000.


Kejohanan kali ini dianjurkan bersama Bangkuk sport event, Creative Factory, Osuau Enterprise, F&A Ranau dan W&W Photocopy.

bottom of page