Guan Eng: Kerajaan PH tidak pernah umum kereta rasmi menteri diganti kepada VellfireGuan Eng: Kerajaan PH tidak pernah umum kereta rasmi menteri diganti kepada Vellfire
top of page
  • Farah Salim

Guan Eng: Kerajaan PH tidak pernah umum kereta rasmi menteri diganti kepada Vellfire


9 Nov 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meluluskan atau mengumumkan pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) bagi Menteri-menteri Persekutuan daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kewangan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.


Baru-baru ini, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk menggantikan kereta sedan empat tempat duduk kepada MPV mewah tujuh tempat duduk sebagai kenderaan rasmi menteri.


Dalam kenyataan itu, kementerian itu menyebut bahawa cadangan penggantian itu telah dipertimbangkan semasa pentadbiran Kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.


“Selaras dengan prinsip perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah, Menteri-Menteri zaman Kerajaan PH telah menggunakan kenderaan Proton Perdana, bukan seperti sekarang yang memakai Toyota Vellfire 2.5 yang lebih mewah.


“Tidak dapat dipastikan kesahihan sama ada pertukaran KRJ ini dibuat antara lainnya berdasarkan kos sewaan Toyota Vellfire 2.5 lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium.


“Kadar sewaan Toyota Vellfire 2.5l didakwa adalah RM4,851.61 sebulan berbanding RM4,854.41 untuk Proton Perdana 2.4,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Guan Eng turut berpendapat bahawa kadar kos pajakan Toyota Vellfire yang lebih rendah daripada Proton Perdana 2.4 tidak masuk akal dan tidak munasabah berdasarkan kenyataan Presiden Persatuan Kereta Sewa Malaysia, Farouk Fernandez.


Ini kerana ia gagal mengambil kira kenderaan dijual pada harga berbeza kepada kerajaan berbanding entiti swasta kerana kerajaan boleh menjimatkan kos melalui pengecualian duti dan cukai.


“Adakah kenderaan jenama lain yang lebih murah dan sepadan dengan kelengkapan kereta Proton Perdana 2.4 Premium dipertimbangkan selain daripada memastikan keutamaan diberikan kepada kereta buatan Malaysia?


“Demi prinsip akauntabiliti dan ketelusan, Kementerian Kewangan perlu memaklumkan kepada orang ramai sama ada tender terbuka dilaksanakan dan syarikat manakah yang menguruskan penyewaan baru kenderaan rasmi kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

bottom of page