Hadi tidak wajar mainkan polemik kaum dalam isu rasuah: DAP
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hadi tidak wajar mainkan polemik kaum dalam isu rasuah: DAP


21 Ogos 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Tiga ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Sheikh Umar Bagharib Ali menyatakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak wajar memainkan polemik kaum dalam isu rasuah.


“Daripada menyalahkan sesuatu kaum, lebih baiklah Hadi jawab dahulu; mengapakah kedudukan indeks persepsi rasuah Malaysia menjadi lebih buruk sedangkan PAS sendiri telah berada dalam Kerajaan sejak 2020?


“Dalam sedutan kenyataan Presiden PAS semalam, Hadi Awang ada menyatakan "...golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera..."


“Kami ingin mengingatkan Hadi supaya berhentilah dari perangai yang sewenang-wenangnya mengaitkan rasuah dengan sentimen perkauman sempit. Ajaran Islam telah menolak perbuatan rasuah tanpa mengira kaum atau warna kulit,” kata kenyataan itu hari ini.


Menurut kenyataan itu lagi, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menunjukkan negara seperti Denmark, Finland dan New Zealand sebagai antara negara teratas melawan rasuah.


“Bahkan negara jiran Malaysia - Singapura sendiri pun telah jauh meninggalkan kita.


“Negara-negara tersebut bukan majoriti beragama Islam, tetapi kesungguhan mereka melawan rasuah adalah jauh lebih baik daripada negara kita,” katanya.


Katanya lagi, laporan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 mendedahkan, punca rasuah berlaku ekoran kurang sokongan, kurang kesedaran, kerenah birokrasi, kurang pengesanan awal, kurang usaha mencegah rasuah serta kelemahan penguatkuasaan.


“Selain itu, kelemahan pentadbiran Malaysia ekoran manipulasi terhadap sistem dan prosedur menjadi punca amalan rasuah tertinggi mencecah 36 peratus.


“Konflik kepentingan membabitkan kuasa budi bicara, kuasa mutlak dan campur tangan politik pula menyumbang sebanyak 33.12 peratus.


“Ini menunjukkan bahawa ketiadaan 'political will' oleh para pemimpin telah merencatkan usaha Malaysia membasmi rasuah hingga ke akarnya. Lebih teruk lagi apabila pemimpin sendiri bergelumang dengan rasuah dan salahguna kuasa.


“Ini bukannya soal bukan Islam atau bukan bumiputera sepertimana dakwaan Hadi. Tanggungjawab memerangi rasuah merentasi kaum dan agama,” katanya.


Dalam kenyataan Hadi Awang sebelum ini mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.


Tags:

bottom of page