top of page

Hak 40 Peratus Sabah: Notis Rayuan Dan Kenyataan Kerajaan Bercanggah

  • nabalunews
  • Nov 15
  • 2 min read

ree

15 November 2025


KOTA KINABALU: Notis Rayuan yang difailkan Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak Sabah terhadap Geran Khas 40 peratus tidak selari dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini.


Bekas Presiden Persatuan Peguam Sabah (SLS), Datuk Roger Chin berkata, kenyataan AGC pada 11 November menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung geran tersebut, sebaliknya hanya meneliti “kecacatan” dalam alasan penghakiman.


“Namun, Notis Rayuan yang difailkan selepas itu tidak mencerminkan jaminan tersebut. Walaupun benar Kerajaan tidak mencabar formula perlembagaan hak 40 peratus, skop rayuan itu jauh lebih luas daripada apa yang digambarkan kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan.


“Rayuan tersebut secara substantif berusaha mengetepikan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa tiada semakan sah dilakukan selepas 1973, Perintah-perintah Warta 2022, 2023 dan 2025 tidak berperlembagaan, serta kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah melanggar kewajipan perlembagaan mereka,” katanya.


Menurut Roger, Notis Rayuan itu turut mencabar perintah berkaitan ganti rugi perlembagaan dan arahan supaya Kerajaan mengemukakan akaun penuh jumlah tunggakan yang terhutang kepada Sabah.


Beliau menjelaskan memandangkan kerajaan tidak merayu tafsiran Mahkamah Tinggi mengenai formula 40 peratus di bawah Perkara 112C, formula itu kini kekal sebagai asas mengikat bagi semua pembayaran pada masa depan.


“Namun hakikat bahawa formula itu kekal tidak bermakna hak Sabah pada masa depan terjamin.


“Jika dapatan ini diketepikan, tiada mekanisme penguatkuasaan yang tinggal untuk melaksanakan formula 40 peratus dalam amalan. Formula itu kekal sah dari segi prinsip, tetapi tidak berfungsi,” jelasnya.


Notis Rayuan tersebut, katanya, cuba mengekalkan bentuk hak 40 peratus tetapi menyingkirkan aspek akauntabiliti yang memberikan makna kepada hak tersebut.


Jelasnya, tindakan kerajaan merayu dapatan tersebut membawa risiko menjadikan hak 40 peratus Sabah sekadar “hak atas kertas” seperti yang berlaku selama hampir lima dekad.


“Ini bukan “kecacatan” dalam alasan penghakiman. Ia merupakan dapatan yang menjelaskan mengapa Sabah hanya menerima sebahagian kecil daripada hak perlembagaannya selama hampir setengah abad.


“Dengan merayu dapatan-dapatan ini, Kerajaan Persekutuan sebenarnya mempertikaikan akibat undang-undang berkaitan Tempoh Hilang iaitu tempoh 48 tahun dari 1974 hingga 2021 di mana semakan mandatori tidak dijalankan dan hak itu tidak dibayar.


“Jika rayuan berjaya dan (meskipun) formula itu kekal, Sabah mungkin dinafikan tunggakan hampir lima dekad akibat ketidakpatuhan,” menurut beliau lagi.


Beliau menegaskan pendirian yang dinyatakan Kerajaan Persekutuan pada 11 November dan kandungan sebenar Notis Rayuan tidak boleh dianggap serupa, justeru rakyat berhak mendapat penjelasan telus kerana ia melibatkan hak perlembagaan.


“Satu menggambarkan rayuan yang sempit dan teknikal. Yang satu lagi mencabar dapatan utama yang menjelaskan hak pembayaran balik, penyediaan akaun, dan tanggungjawab perlembagaan.


“Rakyat Sabah dan seluruh Malaysia berhak mengetahui dengan tepat apa yang dirayu dan implikasinya terhadap masa depan serta Tempoh Hilang,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page