top of page

Hak Sarawak berdasarkan perlembagaan, undang-undang negeri dan Persekutuan, adalah jelas

  • Wartawan Nabalu News
  • Jun 14, 2024
  • 2 min read

14 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Hak Sarawak ke atas pelantar benua, keluasan sempadan negeri, air dan duti setem adalah berdasarkan kepada peruntukan perlembagaan yang jelas serta undang-undang negeri dan Persekutuan yang berkaitan dan tiada ruang untuk pentafsiran.


Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Persekutuan-Negeri), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata berdasarkan Perintah Sarawak (Pengubahan Sempadan) dalam Majlis bertarikh 24 Jun 1954, sempadan Sarawak telah diperluaskan bagi meliputi dasar laut dan kawasan di bawah tanah yang membentuk pelantar benua di perairan Sarawak.


"Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa wilayah Sarawak hendaklah menjadi wilayah seperti pada Hari Malaysia.


"Wilayah Sarawak pada 16 September 1963 adalah termasuk dasar laut dan kawasan bawah tanah yang membentuk pelantar benua di perairan Sarawak," katanya menerusi kenyataan media.


Sharifah Hasidah menambah, di bawah Kanun Tanah Negeri Sarawak, undang-undang undang-undang pra-Malaysia, kesahihan dan kesannya berterusan selepas Hari Malaysia berdasarkan Seksyen 73 Akta Malaysia 1963 iaitu dasar laut dan kawasan bawah tanah dalam sempadan yang dilanjutkan oleh Perintah dalam Majlis (Order in Council) adalah tanah negeri.


Katanya lagi, di bawah perkara 2 Senarai II (Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Tanah adalah perkara di bawah kuasa perundangan dan eksekutif negeri.


"Di bawah perkara 2(c) senarai II, pihak berkuasa perundangan dan eksekutif meliputi ‘permit dan lesen untuk melombong atau melakukan aktiviti melombong; pajakan dan pensijilan perlombongan’." jelasnya.


Sharifah Hasidah berkata Perkara 8 (j) Senarai I (Senarai Persekutuan) memperuntukkan, tertakluk kepada perkara 2(c) dalam Senarai Negeri, perkara berikut :


Pembangunan sumber-sumber mineral; lombong, perlombongan, mineral dan bijih galian; minyak dan medan minyak.


"Peruntukan perlembagaan yang tidak jelas ini menunjukkan bahawa pembangunan minyak dan medan minyak di Sarawak adalah tertakluk kepada pajakan perlombongan atau sijil yang dikeluarkan oleh negeri di bawah Perkara 2(c) Senarai Negeri.


"Ordinan Perlombongan Minyak Negeri 1958 memperuntukkan pengeluaran lesen cari gali minyak, pajakan atau pensijilan perlombongan untuk cari gali dan perlombongan petroleum.


"Kerajaan negeri mempunyai kewajipan perlembagaan untuk memastikan semua hak dan kuasa perlembagaan milik negeri tidak terhakis dan dihormati sepenuhnya," tegas beliau.


Sharifah Hasidah berkata hak dan kuasa perlembagaan sedemikian tidak boleh terjejas melalui tujuan tafsiran mengenai peruntukan perlembagaan atau undang-undang yang jelas dan tidak jelas.


Hasidah mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini bahawa kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Negeri mempunyai pandangan dan tafsiran berbeza dalam isu seperti pelantar benua, sempadan negeri dan duti setem.


Namun begitu, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan terus berhubung dengan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan hak dan kuasa perlembagaan demi kepentingan negara dan untuk menggalakkan kesejahteraan ekonomi dan kemajuan Persekutuan.


"Kerajaan negeri akan terus mengadakan libat urus dengan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan hak dan kuasa perlembagaan tersebut untuk faedah negara serta menggalakkan kesejahteraan ekonomi dan kemajuan Persekutuan," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page