top of page
nabalunews

Halia Berpotensi Jana Pendapatan Tinggi Kepada Penduduk Luar Bandar

2 November 2024


BETONG: Tanaman halia mempunyai potensi besar untuk dijadikan produk yang mampu menjana pendapatan tinggi bagi penduduk luar bandar.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata halia kini mendapat permintaan tinggi dan semakin diperlukan untuk kegunaan industri kosmetik dan farmaseutikal di peringkat antarabangsa yang membuka peluang besar untuk industri tempatan menembusi pasaran global.


Menurut beliau, hasil perbincangan dengan sebuah syarikat multinasional mendapati keperluan bekalan halia sangat tinggi, dengan permintaan sebanyak 10 kontena setiap bulan yang menunjukkan potensi besar bagi pengusaha tempatan untuk menjana pendapatan yang mampan dan sekaligus meningkatkan ekonomi di luar bandar.


“Sebanyak 10 kontena sebulan, tetapi kita tidak ada kemampuan dari segi pengeluaran.


“Mungkin setakat ini satu dua kontena sahaja, tetapi itu tidak mencukupi. Mereka memerlukan satu jumlah yang banyak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Enteri Lengkoi, Samu Ulu Paku, Spaoh di sini hari ini.


Sebelum itu beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam ucapannya, melontarkan cabaran kepada penduduk Betong untuk menghasilkan 10 kontena halia sebulan, untuk dieksport ke luar negara.


Kementerian beliau telah merancang untuk melaksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di Betong, yang produknya ialah penanaman halia dan penternakan ayam kampung sebagai fokus komponen pembangunan ekonomi di situ.


Ahmad Zahid berkata halia mendapat permintaan tinggi dari China, Eropah dan juga Amerika Syarikat bagi penghasilan ramuan pembuatan produk kosmetik dan farmaseutikal.


Prospek Betong yang akan menjadi projek yang pertama melibatkan rumah panjang dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang, akan dilaksana pada tahun depan dengan tempoh pembangunan projek sehingga 2029.

Comments


bottom of page