Hannah: Sukan tempur di sekolah kini dikasifikasi sebagai aktiviti sukan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hannah: Sukan tempur di sekolah kini dikasifikasi sebagai aktiviti sukan


8 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, sukan tempur kini diklasifikasikan sebagai aktiviti sukan dan bukan aktiviti badan beruniform sebelum ini.


Jelas beliau, sukan tempur seperti taekwondo dan wusyu kini diklasifikasikan sebagai aktiviti sukan dan klasifikasi tersebut bagi memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).


“Sukan tempur yang kita maksudkan adalah seperti taekwondo, wusyu. Kita hendak penyelarasan berdasarkan Akta Pembangunan Sukan, aktiviti sekarang sudah meningkat kepada 103 jenis sukan.


“Kita hendak koordinasi di peringkat sekolah juga, semua ini dinamakan sebagai sukan,” katanya pada sidang media.


Ini antara tujuh perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.


Beliau berkata, mesyuarat itu juga bersetuju untuk menggalakkan pewujudan kelab renang dan olahraga di sekolah-sekolah berpotensi, mewujudkan dan menggiatkan pertandingan kompetitif tahunan peringkat sekolah dan IPT, serta memperluaskan Dana Sukan Komuniti sebanyak RM20 juta kepada kelab dan persatuan di bawah KPM dan KPT.


Beliau turut memaklumkan bahawa Biasiswa Sukan Persekutuan KBS bernilai RM2 juta kini diserahkan kepada KPT untuk menguruskan skop, terma dan peruntukan biasiswa itu.


Selain itu, beliau berkata, KBS melalui JBSN akan mengaktifkan semula program Rakan Aktif di sekolah, manakala ISN akan membantu dalam program pendidikan dan pelesenan kejurulatihan kepada guru dan jurulatih.


Hannah berkata, tujuh perkara itu adalah langkah pertama untuk membawa pembaharuan dalam mencungkil bakat-bakat baharu sebagai usaha memperbaiki prestasi sukan di negara ini.



bottom of page